Untitled (11)
Untitled (11)

UUM sedia terima pelajar ke kampus Oktober ini

Nor Azma  Muhamat Laila
14 Sep 2021 04:38pm
A
A
A

Sintok - Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) bersiap sedia untuk menerima kemasukan pelajar secara fizikal bagi Sesi Akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Oktober ini seperti kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pihak pengurusan universiti dalam proses akhir menyiapkan garis panduan lengkap kemasukan pelajar.

Menurut beliau, proses itu turut membabitkan semua jabatan di kampus ini termasuk Jabatan Hal Ehwal Akademik, Jabatan Pembangunan dan Penyelengaraan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Jabatan Keselamatan dan UUM Information Technology (UUMIT).

“Kami juga mengharapkan semua pelajar yang akan pulang ke kampus memenuhi syarat lengkap vaksin dan melepasi tempoh matang vaksinasi terlebih dahulu manakala yang belum menerimanya boleh menghubungi Badan Bertindak Covid-19 (CITF) agar membenarkan pelajar-pelajar ini mendapat vaksinasi secara walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan,” kata beliau.

Bagi pelajar yang akan pulang ke kampus nanti mereka akan ditempatkan di Inapan Siswa masing-masing melalui pendaftaran yang dibuat di Pusat Penginapan Pelajar berbanding sebelum ini ditempatkan di lokasi pusat kurantin di Bukit Kachi.

Kata Prof Haim Hilman lagi, ibu bapa atau waris tidak perlu bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka kerana proses kemasukan ke kampus dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kepulangan pelajar ke kampus ini akan mengikut kaedah-kaedah yang akan diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT ) nanti termasuklah kaedah pergerakan pelajar dari rumah, pengurusan kesihatan mental dan kebajikan mahasiswa,” sambungnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak universiti juga sedang berusaha untuk menyediakan kemudahan internet yang terbaik bagi kegunaan pelajar semasa mengikuti pembelajaran bersama pensyarah mereka nanti.

"Universiti juga akan terus memberi perhatian kepada perkhidmatan kaunseling dan penyediaan alat sokongan untuk mereka yang memerlukan agar proses pembelajaran berjalan lancar.

"Pengalaman pembelajaran secara dalam talian sebelum ini pastinya dapat dijadikan panduan agar perkhidmatan yang lebih baik dapat disediakan," ujar beliau.

Ketika ini, kebanyakan universiti awam mahupun swasta di Malaysia tiada pilihan lain selain menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara maya bagi memastikan silibus pengajaran dapat disampaikan dengan sebaik mungkin dan sesi pembelajaran tidak ditangguhkan.

Jelas Prof Haim Hilman lagi, dalam masa yang sama pelajar yang tidak pulang ke kampus juga tetap diberi perhatian dan mereka boleh menghubungi pihak universiti untuk mendapatkan sebarang bantuan atau maklumat sepanjang pengajian mereka.

"Ini selaras dengan hasrat KPT untuk melihat proses pembelajaran dapat diberikan kepada anak bangsa walaupun negara dan dunia masih dalam pandemik Covid-19," tutur beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok