Keadaan van sekolah yang terlibat dalam nahas dengan lori treler bawa muatan simen. - Foto: JBPM Johor
Keadaan van sekolah yang terlibat dalam nahas dengan lori treler bawa muatan simen. - Foto: JBPM Johor

Van sekolah bawa 22 murid kemalangan dengan treler

NOR AZURA MD AMINNOR AZURA MD AMIN
07 Jul 2025 05:43pm

Sebuah van sekolah yang membawa 22 murid terlibat dalam nahas dengan sebuah treler muatan simen di susur keluar Bandar Dato Onn, Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS) arah selatan pada Isnin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Johor Bahru, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhamad Azizi Zakaria memaklumkan, 10 anggota termasuk dari BBP Kempas dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 1.10 tengah hari.

"Setibanya pasukan di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan van sekolah dan treler bawa muatan simen.

"Terdapat 22 mangsa terdiri daripada murid sekolah di dalam van tersebut. Pemandu van sekolah tersepit di tempat duduk manakala tiga murid mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Orang ramai membantu menyelamatkan murid-murid yang terlibat dalam nahas terbabit. - Foto tular
Orang ramai membantu menyelamatkan murid-murid yang terlibat dalam nahas terbabit. - Foto tular

Jelas Muhamad Aziz, mangsa tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan bersama seorang kanak-kanak lelaki yang cedera kepada ambulans.

"Sementara dua kanak-kanak perempuan yang turut cedera dihantar menggunakan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan," ujarnya.

Sebelum itu tular video selama 10 saat memaparkan orang ramai membantu kanak-kanak dalam nahas membabitkan van sekolah dan sebuah treler.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp