‘Walau tak pandai, tapi nak ibu bangga dapat anak macam abang’
Tangkap layar perbualan menerusi WhatsApp yang dikongsi pengguna Facebook, Nor Shazwani Shamshudin cukup menyentuh hati dan perasaan kepada sesiapa sahaja yang membacanya.
Perbualan melibatkan Nor Shazwani dengan seorang ibu yang begitu mengharapkan anaknya dapat menyambung pengajian di Institut Kemahiran Mara (IKM), Johor Bahru, Johor, ternyata buat warga maya sebak.
“Puan, saya usahakan ya, saya cuba. Puan doalah. Kami tengah susun, cuma berperingkat,” kata Nor Shazwani di WhatsApp.
“Allahuakbar, terima kasih Puan Shaz. Saya hargai usaha puan. Saya tak berhenti berdoa puan, semoga ada rezeki untuk dia juga.
“Saya berharap sungguh dia dapat tawaran itu. Dia pun memang bersungguh, sanggup tidak mahu bekerja lagi sebab katanya, bimbang TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) panggil belajar.
“Dia cakap, nak ubah masa depan...walau abang tak pandai macam anak orang, abang nak ibu bangga dapat anak macam abang.
“ALLAH puan, luluh hati saya,” tulis ibu itu di WhatsApp.
Sementara itu, Nor Shazwani berkata, ramai yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke IKM berkenaan.
“Yang dapat peluang tolonglah hargai. Hargai macam mana?
“Dapat tawaran kena bersyukur, belajar bersungguh-sungguh dan dapatkan keputusan yang baik. Tamatkan pengajian pada waktu yang ditetapkan, kemudian pilihlah nak bekerja atau sambung belajar.
“Setiap kali rasa malas, fikir balik berapa ramai di luar sana berdoa diberi peluang yang anda dapat.
“Saya doakan anak puan ini mendapat tempat di IKM Johor Bahru,” catatnya di Facebook baru-baru ini.