Wisma Putra bantu 8 mahasiswa Malaysia cedera dalam kemalangan di Mesir
Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Education Malaysia Egypt (EME) sedang memantau rapi situasi membabitkan lapan mahasiswa Malaysia dari Universiti Al-Azhar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Port Said, Mesir.
"Pegawai Education Malaysia Egypt segera melawat penuntut itu di Hospital As Salam Port Said untuk memberikan bantuan dan menilai keadaan mereka," menurut Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Wisma Putra, lima daripada mahasiswa tersebut mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
"Tiga lagi yang sedang dalam pemerhatian akan dipindahkan ke Hospital Sayed Galal di Kaherah untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Wisma Putra memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah memberikan sokongan kepada mahasiswa itu dan akan terus memantau keadaan mereka dengan teliti bagi memastikan kesejahteraan mereka.
Bagi bantuan konsular, pihak terlibat boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah di 10, Street 261, Maadi, Kaherah, Mesir.
Selain itu, kedutaan boleh dihubungi melalui talian +20 225174210 dan kecemasan (selepas waktu pejabat) di +201 200276388 atau melalui e-mel mwcairo@kln.gov.my.
"Kementerian akan terus menyediakan maklumat terkini sekiranya perlu," menurut Wisma Putra.
EME dalam satu catatan di akaun Facebook miliknya menyatakan kemalangan kereta yang menimpa lapan orang penuntut Malaysia itu berlaku kira-kira 12 tengah hari, Sabtu.
Mereka ialah Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon mengalami luka-luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Selain itu, tiga lagi penuntut, Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi telah dibawa ke hospital Sayed Galal untuk rawatan lanjut. - Bernama