TVET-focus-on-digital-education-3-min-scaled
TVET-focus-on-digital-education-3-min-scaled

Wujudkan dasar beralaf baharu, perkasa TVET- Pakar

webadmin
30 Sep 2021 04:01pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakar akademik menggesa kerajaan mewujudkan dasar atau garis panduan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) beralaf baharu bagi mengiringi aspirasi memperkasakan bidang itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM, Prof Madya Dr Razali Hassan, berkata pembangunan dasar ini harus memberi penekanan kepada kaedah pembelajaran dan pengajaran (P&P) yang berkesan supaya TVET tidak lagi dilihat sebagai pendidikan alternatif kepada pelajar yang tercicir.

Beliau berkata perubahan teknologi bersesuaian dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan cabaran negara dalam mendepani Covid-19 juga banyak mengubah landskap P&P di 1,295 institusi TVET di seluruh negara.

"Aktiviti P&P ini hanya dapat dilaksanakan secara berkesan dengan mengaplikasikan pendekatan pedagogi, cybergogi, peergogi dan heutagogi yang pelbagai.

"Namun, bagi meningkatkan keberkesanannya, mewujudkan dasar alaf baharu adalah antara langkah yang harus diambil kerajaan,” katanya kepada Bernama sebagai mengulas usaha kerajaan memperkasakan sektor pendidikan termasuk TVET menerusi RMK12.

Gambar hiasan daripada internet.

Razali berkata kerajaan juga perlu meningkatkan infrastruktur latihan dan pendidikan TVET yang lebih bersifat hibrid dengan mengambil kira peralihan teknologi yang sedang berlangsung.

Selain itu, katanya kemudahan latihan mengikut Model-Model Industri dalam Institusi (TF Model) perlu diwujudkan bagi mengelakkan berlakunya ‘mobiliti' pelajar, sehingga menjejaskan masa dan perbelanjaan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK12 berkata sistem pendidikan perlu mengeluarkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri termasuk memperkukuh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan memperkasakan TVET.

Gambar hiasan daripada internet.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata program yang ditawarkan di setiap institusi TVET harus ditranformasi dengan elemen teknologi terkini seperti robotik, data raya dan kecerdasan buatan (AI) agar mencapai matlamat penambahbaikan yang digariskan dalam RMK12.

"TVET adalah pendidikan yang memberi banyak peluang pekerjaan kepada pelajar tetapi kaedah pengajaran tidak boleh seperti dahulu hanya baiki kereta di bengkel. Bersesuaian dengan keperluan industri, TVET perlu diselitkan elemen seperti robotik dan kecerdasan buatan kerana teknologi ini yang mendominasi masa depan," tambahnya.

Gambar hiasan daripada internet.

Pengarah Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Aede Hatib Musta'amal @ Jamal pula berkata dalam usaha memastikan semua institusi TVET mengkaji semula kandungan atau kurikulum program latihan ditawarkan, kerajaan disaran mewujudkan badan pemantau bagi meneliti pencapaiannya dalam pemerkasaan bidang TVET dan STEM.

"Badan ini sepatutnya berperanan mengumpul segala maklumat dan maklum balas berkaitan usaha dijalankan agar projek-projek yang tidak berkesan atau kurang impak diperbaiki atau tidak lagi dilaksanakan pada masa hadapan, sekali gus mengurangkan kerugian peruntukan yang telah dikeluarkan,” katanya. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok