Untitled (7)
Untitled (7)

YBR taja RM300,000 untuk program pendidikan di Selangor

Nor Azma  Muhamat Laila
11 Nov 2021 09:07pm
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Usahawan (MEDAC) menerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan RM300,000 bagi menaja penganjuran Program Prestij Pembelajaran Negeri Selangor untuk tahun 2021 yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) khas kepada guru dan murid di seluruh negeri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, program ini dilihat sebagai satu aktiviti yang dapat membantu meningkatkan motivasi dan profesionalisme guru-guru melalui program sokongan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta memantapkan fokus pengajaran dan pembelajaran murid dalam menghadapi peperiksaan utama akan datang.

“Saya amat berterima kasih dan menyokong inisiatif YBR dalam membantu dan memberi sokongan bagi meningkatkan kualiti pendidikan terutamanya di Negeri Selangor.

"Saya juga berharap agar lebih banyak lagi entiti korporat dan organisasi lain akan hadir bagi membantu dalam menaja program sebegini. Inisiatif yang diusahakan oleh YBR ini telah membuktikan bahawa syarikat-syarikat korporat turut mengambil berat dan memberi sokongan terhadap institusi pendidikan negara," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Replika cek penyerahan penajaan ini disempurnakan oleh Noh dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Shah Alam.

Turut hadir ialah Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Pengarah JPN Selangor, Anismah M Noh.

Cakna dengan situasi pendidikan di kala pandemik, Megat Zulkarnain berkata, tajaan sebanyak RM30,000 bagi setiap PPD di Negeri Selangor membabitkan 10 PPD keseluruhannya adalah bertujuan untuk pelaksanaan program-program holistik bagi meningkatkan prestasi dan kecemerlangan murid-murid di seluruh negeri berkenaan.

Tambah beliau lagi, hasil daripada makluman yang diterima, enam program yang telah dirancang awal bagi setiap PPD ini diharapkan dapat meningkatkan minat dan perhatian murid dalam sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) ketika dalam suasana pandemik terutamanya membabitkan platform pembelajaran secara digital sebagai alternatif pembelajaran.

"Melalui tajaan program yang disalurkan ini juga diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh guru-guru dalam meningkatkan kualiti pendidikan serta memantapkan lagi ilmu pedagogi melalui perkongsian amalan terbaik dan kepakaran di peringkat daerah," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok