YES! Rock The School tingkat kebolehpasaran pelajar dalam industri
Pelaksanaan YES! Rock The School Edisi Mega Johor dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar menerusi kemahiran yang relevan dengan industri masa kini, di samping membantu mereka lebih bersedia untuk melangkah ke alam pekerjaan.
Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, program itu antara lain mempersiapkan pelajar bagi menghadapi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
Beliau berkata, program yang dijalankan selama dua hari bermula Isnin, melibatkan seramai 600 pelajar dari 34 sekolah seluruh negeri termasuk Johor Bahru, Kulai dan Pontian.
"Program yang direka untuk meningkatkan kebolehpasaran dan kepimpinan ini menekankan kepentingan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Kecerdasan Buatan (AI) dan pendigitalan," katanya ketika merasmikan majlis penutup program berkenaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru pada Selasa.
Program anjuran Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri itu turut melibatkan 67 kaunselor sekolah terlatih menerusi inisiatif YES! Counsellors.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Syarikat TalentCorp Wong Shu Qi berkata, penyelarasan program pendidikan dengan keperluan industri yang lebih strategik adalah amat penting bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi Johor dan daya saing global.
"Antara wakil kerajaan dan industri yang terlibat termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar Regional (IRDA), Microsoft, Western Digital, Venture Technocom dan Virtualtech Frontier dalam menyokong pembangunan bakat muda.
"Ia selaras dengan Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Induk Pendidikan Digital Kebangsaan yang menumpukan kepada transformasi pendidikan bagi menghadapi cabaran masa depan," katanya.
Beliau berkata, seramai 60 pelajar UTM turut menyertai program tersebut secara sukarela sebagai fasilitator bagi memperoleh pengalaman serta membentuk kemahiran kepimpinan.
Susulan kejayaan pertama pelaksanaan program ini di Pahang Julai lepas dan Johor, YES! Rock The School Edisi Mega akan diperluaskan ke Pulau Pinang bulan depan bagi meneruskan usaha melengkapkan belia dengan kemahiran yang diperlukan sekali gus mengurangkan kadar guna tenaga tidak penuh serta pengangguran dalam negara. - Bernama