Yu Tian, pencatur termuda negara terima gelaran International Master
Pemain catur muda Pulau Pinang, Poh Yu Tian dianugerahkan gelaran International Master (IM) selepas memperoleh rating 2,429 dalam Kejohanan Catur Remaja Asia Timur (EAYCC) ke-8 di Pulau Pinang yang berakhir pada Sabtu.
Yu Tian, 15, mempamerkan persembahan cemerlang secara keseluruhan dalam kalangan pemain Malaysia apabila berjaya merangkul tempat pertama kategori bawah 18 tahun terbuka, juara acara rapid serta penyertaan dalam acara Blitz (catur kilat).
Kejayaan itu menjadikan beliau sebagai pemain termuda dan ke-10 di Malaysia yang mendapat gelaran IM, sekali gus membolehkan beliau menjadi penerima pertama trofi Piala PMX, yang disampaikan oleh anak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha pada acara penutupan kejohanan Sabtu malam.
Bapa Yu Tian, Poh Leong Pat ketika ditemui berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih anaknya sebagai penerima piala itu, yang diberikan kepada pemain catur cemerlang buat julung kalinya.
"Yu Tian sudah melengkapkan tiga 'norm' dengan rating 2,429 untuk gelaran IM dan fokus selepas ini adalah mahu dapatkan gelaran Grand Master pula. Untuk itu dia perlu melengkapkan tiga lagi 'norm', tapi kita percaya dia mampu melakukannya," katanya.
Selain Yu Tian, pemain catur Malaysia di bawah Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) yang turut berjaya mempamerkan kejayaan cemerlang dalam kejohanan itu ialah Ainul Mardhiah Afif (Woman FIDE Master-WFM) pemenang kategori bawah 14 tahun perempuan; Kavin Mohan, Chess Master (CM) tempat kedua kategori bawah 14 tahun terbuka dan Chow Yi Chen dan Yap Ray Jin yang turut memperoleh gelaran CM selepas masing-masing memperoleh tempat kedua dan ketiga kategori bawah 10 tahun terbuka.
Sementara itu, Presiden Persatuan Catur Pulau Pinang (PCA), See Swee Sie berkata, Pulau Pinang terpilih sebagai tuan rumah kejohanan kali ini, yang bertujuan mencungkil bakat-bakat muda terutama dalam kalangan pemain Malaysia untuk diketengahkan.
"Menerusi pertandingan seperti ini juga, ia dapat membantu dan memberi peluang kepada pemain Malaysia mendapatkan rating untuk menaikkan title masing-masing kerana kalau hendak pergi ke pertandingan di luar negara memakan kos yang tinggi jadi, peluang mengadakan kejohanan di sini merupakan satu pendedahan yang baik dan perlu diambil kesempatan sebaik mungkin," katanya.
Seramai 358 peserta lelaki dan wanita daripada 17 negara mengambil bahagian dalam kejohanan yang bermula pada 12 Julai lepas anjuran PCA bersama Persatuan Catur Malaysia (MCF), dengan Malaysia menghantar 74 pemain untuk bertanding dalam enam kategori iaitu bawah 8 tahun, bawah 10 tahun, bawah 12 tahun, bawah 14 tahun, bawah 16 tahun dan bawah 18 tahun.
Pasukan Malaysia berjaya merangkul tempat kedua keseluruhan kejohanan selepas memungut dua emas, dua perak dan satu gangsa.
Johan menjadi milik pasukan dari China selepas menamatkan kejohanan dengan memperoleh lima emas, tiga perak dan lima gangsa manakala tempat ketiga Vietnam (dua emas dan dua perak). - Bernama