Allahyarham Zara Qairina
Allahyarham Zara Qairina

Zara Qairina: Jangan ada lagi mangsa!

30 Jul 2025 07:30pm

Kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, mendapat perhatian Ahli - ahli Parlimen yang menyuarakan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan dan isu buli di sekolah.

Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) berkata, kejadian tragis yang meragut nyawa pelajar sekolah asrama di Papar, Sabah itu bukan sahaja menyayat hati tetapi membuka persoalan mengenai sejauh mana sistem pendidikan negara benar-benar melindungi pelajar daripada menjadi mangsa buli dan kecuaian.

"Berapa ramai lagi anak-anak kita yang dibuli harus patah semangat sebelum tindakan diambil? Saya merayu bukan hanya sebagai Ahli Parlimen tetapi sebagai seorang ayah, seorang rakyat agar isu buli di sekolah ditangani dengan tindakan proaktif," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Matbali menggesa kerajaan menubuhkan unit khas antibuli di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang berperanan melakukan pemantauan berkala di sekolah serta mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun bersama pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Polis Diraja Malaysia.

Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) dalam perbahasannya berkata, ketelusan siasatan kes itu amat penting bagi mencari kebenaran, sekali gus menolak persepsi wujudnya kecuaian atau konspirasi.

"Hanya dengan siasatan yang telus kita mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan negara. Keluarga Allahyarham berhak mengetahui kebenaran, keadilan untuk mereka dan reformasi untuk sistem pendidikan," katanya.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) pula membangkitkan persoalan mengenai punca sebenar kejadian yang menimpa Zara Qairina sama ada disebabkan kemalangan atau terdapat unsur jenayah.

"Sekiranya kejadian tersebut merupakan kemalangan, apakah faktor yang menyumbang kepada insiden itu termasuk keadaan persekitaran, keselamatan asrama atau keadaan emosi dan mental mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap kes Zara diberikan penyelesaian undang-undang segera, adil dan telus kerana ini amat penting untuk keluarganya yang kehilangan dan kesedihan amat sangat, selain untuk menamatkan khabar-khabar angin yang tersebar berkaitan kes ini," katanya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 11 tengah hari, 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama itu pada jam 4 pagi, 16 Julai. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp