
Kes Zara Qairina: 'Masih ada buat fitnah terhadap kami' - Mustapha
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, meluahkan rasa kecewa apabila keluarganya terus dikaitkan dengan kes Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar sebuah sekolah agama di Papar, yang dilaporkan meninggal dunia baru-baru ini.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu, beliau mendakwa terdapat Ahli Parlimen yang cuba mengaitkan dirinya dan keluarga ketika perbahasan Rang Undang-Undang Pendidikan dalam sidang Parlimen.
"Masih ada lagi yang membuat fitnah kepada kami sekeluarga. Semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pendidikan, ada juga Ahli-Ahli Parlimen yang antaranya merupakan peguam, cuba mengaitkan saya dengan kes Allahyarhamah anakanda Zara Qairina.
"Seolah-olah saya berperanan sebagai VVIP (orang kenamaan) yang cuba melindungi individu-individu yang terlibat dalam kes ini, terutama isteri saya yang sudah pun membuat penafian dan disiarkan dalam media utama dan sosial," tulisnya.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut mempersoalkan tindakan pihak menyebarkan dakwaan tidak berasas tanpa menyemak kesahihan maklumat.
"Saya hairan, dengan pengalaman sebagai peguam yang sudah lama dan pernah menjadi menteri sebelum ini, masih menggunakan maklumat berunsur fitnah dan tidak mengamalkan sifat tabayyun.
"Saya cabar beliau untuk membuat kenyataan di luar Parlimen. Berani kerana benar, takut kerana salah," gesanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, yang mengangkat isu itu dalam sesi perbahasan serta berharap siasatan yang telus dapat dijalankan.
Mustapha dalam pada itu turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah dan berdoa agar roh Zara Qairina ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Beliau turut menyertakan tanda pagar #JusticeForZara sebagai tanda solidariti terhadap kematian pelajar tersebut.