HomeBuletin207 tabika, taska dan Pusat Kegiatan KEMAS terjejas akibat banjir

Artikel Berkaitan

207 tabika, taska dan Pusat Kegiatan KEMAS terjejas akibat banjir

PUTRAJAYA – Sebanyak 207 premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika), Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) serta Pusat Kegiatan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terjejas akibat banjir yang melanda Lembah Klang dan beberapa negeri lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam kenyataan hari ini memaklumkan Tabika KEMAS yang paling teruk terjejas adalah di Selangor melibatkan 111 buah dan Pahang iaitu 58 buah.

“Sejumlah 357 kakitangan KEMAS sendiri turut menjadi mangsa bencana banjir di seluruh negara,” katanya.

Banjir melanda Lembah Klang sejak Sabtu lepas (18 Disember) susulan hujan lebat berterusan menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan terjejas kerana dinaiki air.

Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Perak.

BACA JUGA: Wujudkan persekitaran sekolah selamat, semua pihak perlu mainkan peranan

BACA JUGA: Banjir: UniSZA umum cuti bencana dari 19 hingga 26 Disember

Sehubungan itu, beliau berkata seramal 1,256 sukarelawan kakitangan KEMAS digerakkan ke negeri-negeri terjejas banjir bagi melaksanakan misi bantuan pasca banjir dibawah program KEMAS Prihatin selama tiga hari bermula hari ini.

“Kita menggerakkan inisiatif bantuan ini bukan hanya untuk kerja-kerja pembersihan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS yang terjejas dilanda bencana banjir, tetapi juga untuk rumah rumah penduduk yang berhampiran.

“Kita berharap dengan bantuan yang digerakkan ini akan membolehkan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS dapat bersedia menerima kemasukan anak-anak kerana tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula,” katanya.

Ikuti GPSBestari di Twitter dan Facebook

Mahdzir berkata, antara kawasan tumpuan misi bantuan pasca banjir itu termasuk ke Hulu Langat, Puchong, Shah Alam, Klang di Selangor serta Pahang.

“Saya mengucapkan tahniah atas kesediaan semua sukarelawan kakitangan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan ini dan ia juga merupakan satu ibadah kepada kita dalam membantu melapangkan kesusahan orang lain,” katanya.

– BERNAMA

Artikel Terkini