WhatsApp Image 2021-06-16 at 11.48.01 AM
WhatsApp Image 2021-06-16 at 11.48.01 AM

4 cara untuk galakkan pelajar tanya soalan

A
A
A

Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak akan lengkap tanpa sesi soal jawab antara pelajar dan guru.

Biasanya, semasa atau selepas sesi pembelajaran, guru-guru akan membuka ruang dan peluang untuk para pelajar mengajukan soalan mengenai topik yang telah dibincangkan.

Sesi soal jawab ini bertujuan untuk memastikan dan menguatkan lagi daya pemahaman pelajar terhadap sesi pembelajaran yang berlangsung.

Namun, menjadi satu cabaran untuk guru-guru apabila pelajar enggan melibatkan diri dalam sesi soal jawab.

Keadaan ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan guru apabila mereka tidak mengetahui sama ada pelajar faham atau tidak sesuatu topik yang diajar.

Oleh itu, guru-guru perlu bertindak kreatif dan bijak dalam mengawal pemikiran para pelajar agar mereka dapat berfikir secara kritis dan kreatif.

Strategi yang berkesan perlu dilakukan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.

Berikut empat cara yang sesuai dipraktikkan oleh para guru dalam usaha menjadikan komunikasi dua hala

1) Cetuskan pertanyaan

Guru mestilah memainkan peranan dengan mewujudkan sesuatu isu bagi menimbulkan tanda tanya pelajar. Perasaan ingin tahu yang menebal dalam diri akan mendorong mereka untuk bertanya.

2) Meraikan setiap soalan pelajar

Guru mestilah meraikan setiap soalan yang dikemukakan pelajar. Perhatian dan maklum balas guru terhadap soalan yang diajukan akan mencetuskan semangat mereka untuk bertanya. Melalui soalan yang diterima, guru mestilah menyambut pertanyaan itu dengan melakukan perbincangan bagi merungkai jawapan.

3) Paparkan secara visual apa yang diajar

Soalan kebiasaannya akan tercetus mengikut apa yang dilihat pada ketika itu. Oleh itu, apa yang dipaparkan oleh guru dalam bentuk visual akan menarik minat pelajar terhadap sesuatu topik. Paparan imej yang diperhatikan pelajar semasa guru mengajar akan menghubungkan sel otak pelajar untuk mencipta soalan.

4) Bantu pelajar mengemukakan soalan yang lebih baik

Memberikan petunjuk adalah sangat penting kepada pelajar. Melalui petunjuk yang diberikan oleh guru, otak pelajar akan menjana idea untuk mengajukan pelbagai soalan termasuklah soalan-soalan di luar kotak.

Diharapkan perkongsian ini dapat menarik minat pelajar untuk berinteraksi dengan guru dan harapan juga agar guru-guru dapat mempraktikkan tip ini bagi memastikan ilmu yang dicurahkan akan mendatangkan manfaat kepada para pelajar.

Sumber: Emma Chiappetta, Edutopia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok