
SK Langgar terima nafas baharu, jadi Sekolah Angkat Madani Bank Islam
Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar antara yang tertua di Kelantan, kini berwajah baharu apabila dipilih sebagai sekolah angkat pertama di bawah inisiatif Sekolah Angkat Madani (SAM) anjuran Bank Islam Malaysia Berhad.
Berusia lebih 100 tahun, SK Langgar dipilih sebagai salah satu daripada lima sekolah di seluruh negara yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan infrastruktur bagi mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif dan selari dengan keperluan pendidikan digital masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, pelaksanaan inisiatif ini membuktikan komitmen Bank Islam dalam menyokong aspirasi Dasar Pendidikan Digital Malaysia Madani.
“Antara kemudahan yang disediakan termasuk pembinaan sebuah bilik Smart Classroom, naik taraf penghawa dingin bilik guru, pelaksanaan program pembelajaran berasaskan teknologi seperti kecerdasan buatan dan perisian digital serta pondok bacaan untuk menyokong aktiviti pembelajaran luar bilik darjah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis rasmi penyerahan sumbangan dan pengumuman rasmi di SK Langgar, Kelantan pada Selasa.

Menurut beliau, program itu bukan sahaja meningkatkan ekosistem pembelajaran digital, malah memberi impak langsung kepada murid dan tenaga pengajar dalam menyemai minat terhadap teknologi dan inovasi.
Dalam majlis sama, Bank Islam turut menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM26,400 kepada 176 murid asnaf SK Langgar. Setiap pelajar menerima sumbangan bernilai RM150 sebagai bantuan persekolahan dan galakan untuk terus cemerlang dalam pelajaran.
Langkah ini selari dengan usaha berterusan Bank Islam memperkukuh kesejahteraan masyarakat melalui pendidikan yang inklusif dan mampan.
Selain SK Langgar, empat lagi sekolah terpilih di bawah program Sekolah Angkat Madani termasuk ialah SK Taman Dato’ Harun 1, Petaling Jaya, Selangor; SK Batu Rakit, Kuala Terengganu, Terengganu; Sekolah Pendidikan Khas Melaka dan SMK Peramu Jaya, Pekan, Pahang
Program ini dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar dan komuniti sekolah, khususnya dalam memperkukuh pendidikan berteraskan digital dan nilai Madani.