child-865116_1920
child-865116_1920

7 perkara ibu bapa, guru perlu perhatikan ketika anak-anak membuat latihan menulis

Adlan Farhan Azwan
15 Dec 2022 11:08am
A
A
A

Apabila kanak-kanak sudah melangkah ke alam persekolahan, mereka perlu menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Khususnya untuk kemahiran menulis, ia merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat serta mengeluarkan idea melalui pelbagai penulisan kreatif.

Ia boleh dilakukan menerusi penulisan berkaitan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat mudah difahami, tanda bacaan dan ejaan betul serta tulisan yang jelas serta kemas.

Hakikatnya, kemahiran menulis adalah satu kemahiran yang agak sukar dikuasai berbanding kemahiran mendengar, bertutur dan membaca kerana melibatkan aspek fizikal iaitu kemahiran motor halus dan koordinasi mata dan tangan.

Kanak-kanak perlu dibimbing oleh ibu bapa dan guru pada peringkat awal supaya dapat mempersiapkan mereka untuk mempelajari kemahiran penting ini.

Secara asasnya, latihan secara berterusan terbukti dapat memastikan anak-anak mampu untuk menguasai kemahiran menulis menerusi pelbagai aktiviti seperti menconteng, mewarna, menyalur, menyambung garis putus-putus dan menyalin.

Sehubungan itu, Sinar Bestari kongsikan tujuh perkara yang perlu diperhatikan ibu bapa dan para guru semasa anak-anak membuat latihan kemahiran menulis menerusi hantaran Pakar Tulisan Tangan, Mahfuzah Zainol di laman Facebooknya.

Ikuti perkongsian tersebut.

**

1. Cara duduk semasa buat aktiviti tulisan tangan. Ini kerana ia boleh memberi kesan kepada postur badan dan hasil tulisan.

2. Posisi kertas semasa menulis. Sekiranya kertas yang digunakan berada dalam posisi lurus, badan akan senget supaya dapat melaraskan posisi badan. Jadi, ia tidak boleh diambil mudah kerana apabila kanak-kanak sudah terbiasa, mereka sukar untuk mengubahnya.

3. Penggunaan tangan kiri atau kanan. Penggunaan sama ada tangan kiri atau kanan memainkan peranan penting dalam intervensi tulisan tangan mereka.

4. Cara memegang pensel sama ada tiga jari (tripod), empat (quadrupod) atau lima (five finger grip). Pegangan pensel berkait rapat dengan otot psikomotor yang dipengaruhi oleh faktor umur.

5. Tangan yang memegang pensel terletak atas kertas atau tergantung semasa menulis. Sekiranya tergantung, ia bermakna kemahiran tulisan tangan yang digunakan tidak efektif.

6. Tekanan pensel ke atas kertas. Sekiranya terlalu kuat, ia akan memberi kesan terhadap otot tangan dan mengakibatkan mudah lenguh manakala jika terlalu perlahan, tulisan akan sukar untuk dilihat. Ia juga ada kaitan dengan aspek kemahiran motor.

7. Posisi tangan yang tidak memegang pensel. Sebaik-baiknya, tangan yang tidak memegang pensel perlulah menyokong kertas supaya kedua-dua tangan dapat berfungsi dengan selaras.

Sumber: Facebook Mahfuzah Zainol

Artikel berkaitan

6 tip simpanan pendidikan anak-anak, mohon ibu bapa mulakan daripada sekarang

12 kaedah pengawetan makanan untuk pengetahuan semua

Tip kemahiran menggunting, guru dan ibu bapa boleh guna cara ini untuk ajar si kecil


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok