
Pemimpin cilik SK Jeram dilatih jadi duta kecil antibuli!
Seramai 120 murid Tahun 1 hingga Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Selangor menyertai Kursus Kepimpinan Pemimpin Muda 2025, sebuah inisiatif yang bertujuan melahirkan generasi pemimpin kecil berwibawa, berdisiplin dan bebas daripada budaya buli.
Bertempat di Dewan Terbuka Datuk Hj Hameed, program penuh semangat itu menghimpunkan murid yang memegang pelbagai jawatan kepimpinan seperti Pengawas Sekolah, Pengawas Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pengawas Sistem Pinjaman Buku Teks (SPBT), Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS), Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas.
Dengan tema 'Pemimpin 1st Class', kursus tersebut menampilkan Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Nurul Nisha Mohd Shah, sebagai penceramah utama yang berkongsi tentang erti kepimpinan sebenar di usia muda.
"Pemimpin murid bukan sekadar simbol disiplin, tetapi juga 'duta kecil' sekolah dalam membanteras isu buli serta membina budaya hormat dan empati dalam kalangan rakan sebaya.
"Keyakinan diri dan keberanian bersuara adalah senjata utama seorang pemimpin," tegas beliau.

Guru Besar SK Jeram, Cikgu Samsir A Rawab berkata, kursus ini menjadi platform penting untuk memupuk nilai integriti, empati dan tanggungjawab dalam kalangan pemimpin muda.
"Kami mahu pemimpin kecil ini membesar dengan jiwa besar. Mereka bukan sahaja menjaga disiplin, tetapi menjadi contoh kepada rakan lain serta muncul sebagai pelapis kepimpinan negara yang berakhlak mulia dan menolak budaya buli," katanya.
Sepanjang program, para peserta mengikuti pelbagai modul menarik termasuk latihan komunikasi berkesan, kepimpinan melalui tauladan, simulasi tugasan pemimpin serta sesi refleksi nilai diri.

Hasilnya, ramai murid menunjukkan peningkatan keyakinan diri dan berani tampil menyuarakan pandangan secara terbuka.
Program ini turut menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkukuh pendidikan sahsiah dan kepimpinan murid, sekali gus menjadi langkah proaktif menangani isu buli yang semakin membimbangkan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Dengan semangat baharu yang ditanam melalui kursus berkenaan, SK Jeram yakin lebih ramai pemimpin muda berjiwa besar akan lahir yang bukan sahaja tegas dan berkarisma, tetapi juga berhemah dan berani menentang budaya buli demi keharmonian komuniti sekolah.
Ringkasan AI
- Seramai 120 murid SK Jeram, Selangor menyertai Kursus Kepimpinan Pemimpin Muda 2025
- Kursus ini bertujuan melahirkan generasi pemimpin muda yang berwibawa, berdisiplin dan bebas daripada budaya buli
- Pensyarah UiTM, Nurul Nisha Mohd Shah, berkongsi tentang kepimpinan sebenar di usia muda sebagai penceramah utama
- Kursus menjadi platform untuk memupuk nilai integriti, empati dan tanggungjawab dalam kalangan pemimpin muda
- Program ini menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkukuh pendidikan sahsiah dan kepimpinan murid, dan proaktif menangani isu buli
