mat kilau
mat kilau

Ramai ibu bapa daftar anak belajar silat gara-gara Mat Kilau

Rasyidah Zulkifi
06 Jul 2022 01:54pm
A
A
A

Lebih 40 pelajar baharu mendaftar sebagai ahli silat di Negeri Sembilan gara-gara fenomena luar biasa daripada filem Mat Kilau.

Filem ini memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang kepentingan seni mempertahankan diri untuk kegunaan masa depan anak-anak mereka.

Menurut Naib Pengerusi Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) Daerah Jempol, Ahmad Shafiq Zulkifli, jumlah pendaftaran pelajar baharu yang mahu belajar silat cukup luar biasa sejak kebelakangan ini.

Ahmad Shafiq berkata, sebelum ini PSSGM hanya menerima empat atau lima peserta dalam tempoh setahun.

Tambahnya, silat kurang mendapat sambutan berikutan ia dianggap sebagai seni bela diri yang lapuk, namun impak filem Mat Kilau mengubah persepsi masyarakat.

Menurutnya lagi, penyertaan pelajar baharu itu akan bertambah susulan program pengambilan ahli baharu bermula hari ini dan esok.

“Dalam filem Mat Kilau, pengaruh silat yang dipamerkan memaparkan pembawaan watak persilatan, adab orang Melayu, semangat juang dan junjungan agama Islam yang tinggi sangat memberi impak khususnya kepada ibu bapa.

"Tidak menghairankan apabila ada ibu bapa mendaftar anak mereka berumur lima tahun selain ada golongan dewasa berusia 50 tahun yang turut berminat mahu berlatih silat," katanya.

Mengulas lanjut, seramai 104 ahli PSSGM Jempol sudah dibawa menyaksikan tayangan filem Mat Kilau di pawagam Bahau, malah ahli turut mengenakan busana tradisional seperti pahlawan Melayu.

Info

Seramai 4,000 pesilat telah dilahirkan menerusi Gelanggang Panglima Hitam PSSGM daerah Jempol.

Artikel berkaitan

6 peraturan baharu dalam sukan silat

3,000 pelajar, guru ‘banjiri’ pawagam, tidak lepaskan peluang tonton filem Mat Kilau

Fenomena filem Mat Kilau bangkitkan semangat murid SK Tangkungon kembali aktif bersilat

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok