t63
t63

Taufiq mahu jadi juara Olimpik, sertai sukan memanah sejak berumur 7 tahun

Nor Azma  Muhamat Laila
07 Feb 2022 12:45pm
A
A
A

Seawal usia tujuh tahun, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar T6, Kluang, Johor, Muhammad Taufiq As-Syifa' Mohamed Sham sudah menceburi sukan memanah kerana mengikut jejak langkah ahli keluarganya.

Bermula dari ayah, ibu, abang dan kakaknya, kesemua pernah menceburi sukan berkenaan, sekali gus memanah menjadi seperti sukan keluarga.

Bagi Muhammad Taufiq As-Syifa', selain ibu bapa, abang dan kakaknya adalah individu yang memainkan peranan dalam mencetuskan minatnya terhadap sukan memanah seterusnya menjadi pendorong utama kepada dirinya sehingga ke hari ini.

“Memandangkan sukan ini sudah sinonim dengan keluarga, ibu dan ayah telah menyusun jadual untuk sesi latihan saya apatah lagi ayah juga bertindak sebagai jurulatih peribadi.

“Setiap hari saya perlu mengikuti sesi latihan di rumah atau di padang, sekurang-kurangnya satu hingga dua jam supaya dapat terus mengasah kemahiran yang ada,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Selepas lebih lima tahun menceburi sukan memanah, anak ketiga daripada lima adik-beradik itu berjaya meraih beberapa kejayaan termasuklah mewakili Johor ke Pertandingan Memanah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2020 dan 2021 bagi Kategori U12 Lelaki.

Muhammad Taufiq As-Syifa' juga berjaya mendapat Anugerah Tunas Harapan Putera Peringkat Negeri Johor pada Tahun 2020 dan Johan Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Bakat Murid Negeri Johor Tahun 2021.

Dia juga berjaya membuat penampilan dalam kejohanan peringkat antarabangsa apabila menjadi johan di Pertandingan Japan Remote Archery Festival (U 13 Lelaki), tempat ketiga Japan Remote Archery Festival (U 15 Lelaki) dan tempat keempat Pertandingan Selangor Open Ian Scott International (U 15 Lelaki).

Cabaran atlet memanah

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang bergiat aktif dalam sukan memanah, pelajar yang dilahirkan di Shah Alam, Selangor itu berkata, dirinya perlu bijak membahagikan masa kerana kebanyakan waktu yang ada diisi dengan sukan memanah.

“Setiap hari saya berjemur di tengah panas untuk sesi latihan. Ia bukan satu tugas mudah sebaliknya memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi supaya semangat dan minat terhadap sukan ini dapat dikekalkan.

“Memandangkan waktu riadah petang saya sudah ditukarkan kepada aktiviti memanah, sesi ulang kaji pelajaran pula dibuat pada waktu malam, bermula pukul 8 hingga 10 malam,” kongsinya lagi.

Mengambil kira sukan memanah yang dikatakan sukan mahal kerana kos yang agak tinggi diperlukan untuk membeli peralatan, Muhammad Taufiq As-Syifa' berterima kasih kepada keluarganya kerana menyokong minatnya itu.

Sukan sunnah

“Saya bertuah kerana semua peralatan memanah dibeli oleh ibu dan ayah malah ada juga yang diwarisi daripada abang dan kakak,” katanya menjelaskan kos peralatan dan aksesori miliknya bernilai hampir RM6,500.

Seperti kebanyakan pelajar yang aktif bersukan, Muhammad Taufiq As-Syifa' juga meletakkan sasaran untuk bergelar atlet kebangsaan di masa depan dan dapat mewakli negara dalam kategori recurve.

“Saya mahu menjadi juara Olimpik dalam sukan memanah dan akan terus aktif sebagai pemanah di masa depan tetapi dalam masa yang sama mahu mencapai kejayaan dalam bidang akademik hingga ke peringkat tertinggi.

“Bagi pelajar di luar sana yang berminat menyertai sukan ini, saya sarankan mereka untuk tidak teragak-agak berbuat demikian kerana sukan ini adalah sukan sunnah dan jika kita melakukan sesuatu perkara kerana mahu mengikut sunnah, sudah tentu akan mendapat pahala,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok