Muhammad Nasir (kiri) menyampaikan al-Quran kepada Mohd Roslan sebagai simbolik sumbangan lebih 300 al-Quran untuk ibu bapa dan warga sekolah.
Muhammad Nasir (kiri) menyampaikan al-Quran kepada Mohd Roslan sebagai simbolik sumbangan lebih 300 al-Quran untuk ibu bapa dan warga sekolah.

Lebih 300 warga SK Manek Urai Baru terima al-Quran

ASWANY OMARASWANY OMAR
24 Jun 2025 08:30am

Lebih 300 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Manek Urai Baru, Kuala Krai, Kelantan menerima sumbangan naskhah al-Quran sempena kehadiran mereka ke Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-34 sekolah tersebut.

Sumbangan al-Quran daripada Karangkraf itu bertujuan menggalakkan ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa membaca serta bertadabur bersama-sama.

Guru Besar sekolah berkenaan, Mohd Roslan Hasan menyifatkan sumbangan tersebut sebagai satu anugerah kepada seluruh warga sekolah dan para ibu bapa.

"Pemberian ini menjadi inspirasi untuk anak-anak kita lebih banyak mengaji dan menjadikan kalam ALLAH SWT sebagai pegangan hidup dalam mengejar kejayaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Roslan menyatakan bahawa mesyuarat PIBG merupakan platform terbaik untuk sekolah dan ibu bapa berbincang demi meningkatkan pencapaian murid.

"Kita mahu ibu bapa turut memberi idea dan cadangan kepada pihak sekolah dalam usaha memperkukuh pengurusan serta memastikan pencapaian akademik anak-anak mereka lebih cemerlang," ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Nasir dalam ucapannya menekankan peranan penting ibu bapa sebagai pendidik pertama kepada anak-anak yang sewajarnya berpandukan ajaran al-Quran.

Artikel Berkaitan:

"Guru pertama anak-anak ialah ibu bapa. Mereka memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan anak-anak dan antara amalan utama yang perlu dipraktikkan ialah berpandukan panduan al-Quran," katanya.

Dalam majlis sama, Muhammad Nasir turut menyampaikan al-Quran kepada Mohd Roslan sebagai simbolik sumbangan lebih 300 naskhah al-Quran kepada ibu bapa dan warga sekolah.

Beliau turut menyampaikan pingat kepada seorang murid yang telah mengharumkan nama sekolah menerusi kejayaan dalam permainan catur.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp