Cikgu Fadli disayangi ramai murid
'Dan tahun ini, tiada lagi sambutan seperti ini. Tiada lagi satu hari yang dinanti guru, dinanti murid, penuh dengan kegembiraan, penuh dengan senyuman, penuh dengan wajah-wajah girang.
'Tahun ini tidak lagi sama. Langsung tidak serupa.
Itulah kata-kata Cikgu Mohd Fadli Salleh menerusi laman Facebooknya pada tahun lalu.
Beliau yang merupakan guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak berkata, sambutan Hari Guru tahun ini, sangat berbeza. Betul-betul berbeza.
“Covid-19 telah meragut segala kegembiraan ini. Satu keriangan untuk satu hari direntap begitu sahaja. Dibawa pergi bagai angin barat menghembus debu-debu yang bertebaran,” ujarnya lagi.
Sebagai meraikan Hari Guru yang disambut 16 Mei setiap tahun, Cikgu Mohd Fadli berkongsi kisah yang cukup menyentuh hati buat pembaca semua.
Kisah seorang guru yang diraikan dan diberi penghargaan luar biasa oleh anak-anak didiknya.
Ikuti cerita yang mungkin membuatkan ramai menangis terutamanya bagi yang bergelar seorang guru.
*****
16 Mei 2021. Hari keramat untuk semua guru-guru di Malaysia.
Tahun ini, tiada lagi anak-anak berlari dengan wajah girang memegang bunga dan hadiah di tangan sambil menjerit penuh tak sabar,
"Cikgu! Cikgu! Saya bawa hadiah untuk cikgu".
Dihulur hadiah dengan penuh perasaan bangga. Puas sungguh dia dapat memberi sesuatu pada guru yang paling dia suka.
Tiada lagi anak murid miskin datang jumpa sorok-sorok saat orang lain tak ada. Datang dengan malu menunduk tidak berani bertentang mata seraya berkata,
"Cikgu. Saya tak ada hadiah. Tapi saya buat kad untuk cikgu".
Dan anak itu dipeluk kasih dan perlahan bisikan sang guru ditelinga murid,
"Cikgu bukan pentingkan hadiah. Awak datang hulur sekeping kad begini pun cikgu seronok yang sangat. Cikgu yakin awak akan berjaya suatu hari nanti. Terima kasih, cantik sangat kad awak buat ni".
Dan anak itu berlalu pergi dengan senyuman yang paling lebar dalam hidupnya. Dengan kegembiraan tidak terkata dipuji gurunya. Dengan semangat paling berkobar bila sang guru menaruh kepercayaan kepadanya.
Tiada lagi kiriman hasil tangan mak mereka.
"Cikgu. Mak kata mak tak ada duit nak beli hadiah. Tapi mak buat pulut untuk cikgu."
"Wahhh! Sedapnya pulut mak awak buat. Cakap kat mak cikgu cakap terima kasih dan pulut ni sedap sangat," ujar guru yang terus membuka dan makan kiriman anak murid itu di depan matanya.
Dan anak murid itu adalah anak murid paling bahagia saat itu. Bersinar mata kegembiraan bila guru dengan penuh penghargaan menerima hadiah dia.
Tiada lagi luluhnya hati sang guru melihat anak yatim, anak-anak asnaf datang menghulur sebatang pen yang telah digunakan. Pen milik kakak atau abangnya. Diambil untuk dihadiahkan untuk guru kesayangannya.
Dipeluk lagi anak itu dengan penuh kasih. Dengan sebak didada. Betapa anak ini cuba menggembirakan sang guru walau dia sebenarnya tidak mampu.
Semua momen di atas bukan rekaan. Ia momen sebenar yang aku sendiri lalui sepanjang 16 tahun bergelar Encik Guru.
Bermacam momen penuh dengan suka duka, hilai tawa, tangis hiba, dilalui hanya dengan mengajar anak-anak ini.
Dan tahun ini, tiada lagi sambutan seperti ini. Tiada lagi satu hari yang dinanti guru, dinanti murid, penuh dengan kegembiraan, penuh dengan senyuman, penuh dengan wajah-wajah girang.
Tahun ini tidak lagi sama. Langsung tidak serupa.
Ah, Covid-19 meragut segala kegembiraan ini. Satu keriangan untuk satu hari direntap begitu sahaja. Dibawa pergi bagai angin barat menghembus debu-debu yang bertebaran.
Aku rindu saat ini. Rindu momen begini. Suatu momen yang seketika cuma, namun pasti diingat sampai penghujung nyawa.
Selamat Hari Guru buat semua guru-guru di seluruh dunia. Terutama kepada semua guru yang pernah mengajar aku dari dulu hingga kini.
Tiada kata untuk menunjukkan betapa terhutang budinya aku pada kalian yang bergelar sebagai guru.
Semoga ALLAH merahmati kalian semua, menerima segala amalan dan kurniakan syurga. Amin Ya Rabb.
- Sekali bergelar cikgu, selamanya akan menjadi guru –
Sumber: Facebook Mohd Fadli Salleh
Artikel berkaitan
Masih ke sekolah walaupun tapak kasut haus, semangat murid ini buat Cikgu Pe Chey sebak!
Kekal di Sabah kerana murid, pengorbanan Cikgu Sharin Aizrulidana ini cukup besar nilainya
Perjuangan Cikgu Mardiana dalam amalan kitar semula wajar dicontohi ramai