HomeGen AlphaCikgu Syafiqah kongsi fungsi Google Data Studio, bagus untuk sekolah

Cikgu Syafiqah kongsi fungsi Google Data Studio, bagus untuk sekolah

Baru-baru ini, pelajar Ijazah Sarjana Teknologi Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan webinar bertajuk ‘Pusat Sumber Digital Pemangkin Keberkesanan Pembelajaran Pasca PdPR’.

Webinar tersebut berlangsung selama tiga jam secara dalam talian dan mempunyai lima slot kesemuanya.

Pada slot keempat, webinar berkenaan membincangkan sub topik bertajuk ‘Pusat Sumber Sekolah lebih terancang dan sistematik dengan Google Data Studio’.

Baca juga:

Tip buat soalan guna voice note melalui Google, perkongsian Cikgu Raihan sangat mengujakan

8 kaedah yang boleh pelajar gunakan ketika melakukan pencarian di Google

Pembentangan telah dibuat oleh panelis jemputan yang merupakan guru subjek Pendidikan Islam, Syafiqah Nabilah Razali.

Menurutnya, Google Data Studio boleh membantu warga sekolah termasuklah guru-guru, anak murid dan pengusaha kantin.

“Saya sendiri menggunakan Google Data Studio ini sebab sekolah dijalankan secara penggiliran jadi, murid-murid diberikan ‘link’ bagi menyemak e-slip Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mereka.

“Selain itu, melalui sambungan Google ini ibu bapa akan mengisi borang tempahan makanan secara dalam talian untuk anak-anak di sekolah.

“Kemudian, ia boleh digunakan untuk melihat nama murid yang menempah makanan dan diberikan kepada guru serta kepada pihak kantin untuk melihat jumlah makanan pada hari tersebut,” katanya.

Beliau berkata dengan kemudahan teknologi moden sekarang membolehkan ibu bapa, guru-guru, anak murid dan pengusaha kantin menyampaikan dan menyalurkan maklumat dengan menggunakan peranti pintar sahaja.

Katanya lagi, pihak sekolah juga menggunakan kemudahan tersebut untuk membuat laporan kokurikulum.

“Melalui data ini kita dapat melihat guru mana yang tak menghantar data kokurikulum.

“Kalau dulu kita akan buat laporan kokurikulum dengan buku tapi sekarang kita hanya guna ‘Google form’ dan ‘Google slides’ utk kita menghantar laporan,” katanya.

Mengulas lanjut, Cikgu Syafiqah memberitahu, murid dapat mengakses data pembacaan buku mereka dengan sambungan Google Data Studio.

“Mereka dapat melihat nama, darjah, tahun dan boleh mengemaskini serta mengisi maklumat tentang pembacaan buku di laman sesawang tersebut.

“Di situ juga terdapat jumlah bacaan oleh murid, secara tidak langsung murid juga boleh menjana sijil nilam dalam studio ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Bahkan, guru, murid-murid atau ibu bapa boleh melihat pembaca yang terbanyak secara mingguan, bulanan dan tahunan,” ujarnya.