WhatsApp Image 2021-06-30 at 14.46.09
WhatsApp Image 2021-06-30 at 14.46.09

Hubungan mesra tarik minat pelajar hadir PdPR

A
A
A

Sejak negara dilanda wabak Covid-19, kaedah pembelajaran terpaksa ditukarkan kepada pembelajaran secara dalam talian. Sistem pembelajaran yang tidak seperti biasa telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan para guru apabila ramai pelajar enggan mengikuti sesi pembelajaran yang dijalankan.

Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menyebabkan peratus kehadiran sekolah turut terjejas. Paling mengecewakan apabila bilangan pelajar yang tidak mengikuti kelas, terdiri daripada murid-murid Tahun Enam.

Ada segelintir daripada mereka, tidak lagi berminat untuk mengikuti sesi pembelajaran bersama rakan dan guru memandang tahun ini merupakan tahun terakhir mereka berada di sekolah rendah.

Keadaan pembelajaran norma baharu yang dilaksanakan secara maya beserta pelbagai masalah dan kekangan, mendorong mereka mengambil jalan pintas untuk tidak hadir ke kelas.

Perkara ini telah mencetuskan kerisauan para guru, apabila murid Tahun Enam seharusnya lebih peka dan menjadi contoh yang baik untuk rakan-rakan yang lain.

Susulan masalah ini, seorang guru Bahasa Melayu dan Sejarah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Gerik, Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah, telah berbesar hati berkongsi tip bagi mewujudkan keseronokan dalam diri murid-murid Tahun Enam ini untuk kekal mengikuti sesi pembelajaran yang dijalankan.

Berikut adalah tip yang boleh digunakan oleh guru.

1) Ucapkan kata alu-aluan

Kata alu-aluan yang diucapkan oleh guru akan membuatkan pelajar berasa kehadirannya dihargai. Cara ini akan membuatkan mereka lebih bersemangat untuk mengikuti kelas yang akan dijalankan.

2) Ucapkan tahniah

Para guru mestilah mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang berjaya mengikuti kelas pada hari sebelumnya. Ucapan ini akan membuatkan murid-murid berasa dihargai apabila usaha mereka disedari oleh guru.

3) Menerapkan nilai kejujuran dalam diri murid-murid

Guru-guru harus memastikan murid-muridnya bersikap jujur dalam mengisi kehadiran ke kelas. Daripada aspek ini, guru-guru perlu sedikit tegas agar murid-murid tidak berani untuk berbohong.

Sebahagian murid-murid SK Kenering yang mengikuti proses PdPR.

4) Menghargai kerjasama ibu bapa

Setiap guru juga perlu memuji usaha ibu bapa dalam memberi kerjasama untuk membantu anak-anak mengikuti kelas dengan baik. Hubungan baik antara guru dan ibu bapa akan membuatkan murid-murid berasa gembira.

5) Sentiasa mengingatkan murid-murid untuk bersedia

Pesanan ini sangat penting bagi memastikan murid-murid sentiasa berdisiplin dalam mengikuti kelas yang dijalankan. Melalui pesanan yang dibuat, murid-murid akan sentiasa bersedia untuk belajar pada setiap hari.

6) Menggunakan pendekatan kasih sayang semasa mengajar

Murid-murid akan berasa lebih bersemangat untuk belajar apabila guru-guru menggunakan perkataan-perkataan sopan semasa mengajar. Pemilihan perkataan ini akan membuatkan mereka disayangi oleh guru.

Antara murid SK Kenering yang seronok mengikuti pembelajaran melalui proses PdPR.

 

7) Menerapkan kreativiti dalam proses pembelajaran

Guru-guru perlu menggunakan elemen kreatif bagi menarik perhatian pelajar untuk terus mengikuti sesi pembelajaran. Sebagai contoh, guru-guru perlu menghasilkan video, rakaman suara, gambar-gambar rajah, kuiz, dan sebagainya bagi mengelakkan murid-murid cepat bosan.

8) Sentiasa berkongsi gambar semasa kelas berlangsung

Berkongsi gambar antara murid-murid dan guru sangat penting bagi mewujudkan suasana di kelas yang sebenar. Selain dapat dijadikan kenangan, para guru dapat memantau kehadiran murid-murid.

9) Sentiasa mengambil berat terhadap diri pelajar

Sikap mengambil berat yang ditunjukkan oleh para guru akan membuatkan murid-murid berasa dipedulikan. Perasaan dihargai ini akan membuatkan mereka tidak sampai hati untuk mengecewakan guru mereka.

10) Mendoakan kesihatan dan keberkatan ilmu murid-murid

Doa sangat penting bagi memastikan proses pembelajaran murid-murid berjalan dengan lancar. Cara ini juga salah satu usaha bagi mengelakkan sebarang kesulitan dihadapi oleh murid-murid.

Berikut merupakan usaha yang perlu diberi perhatian oleh para guru bagi menghargai kehadiran murid-murid di sekolah masing-masing sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah ataupun asrama.

Pendekatan ini bukan sahaja membuatkan mereka terbuka hati untuk mengikuti kelas namun mereka juga akan merindui suasana dan kebaikan semasa bersama rakan-rakan dan guru.

Semoga perkongsian ini bukan sahaja menjamin keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di ruman namun dapat juga mengeratkan silaturahim antara pelajar dan guru.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok