IMG_20211020_091522_677
IMG_20211020_091522_677

Pelajar OKU penglihatan gembira kembali ke sekolah

Mohd Khairi Mohamad YusriMohd Khairi Mohamad Yusri
20 Oct 2021 09:40am

Walaupun menghadapi kekurangan dari segi penglihatan, namun ia tidak menjadi penghalang bagi pelajar kelainan upaya (OKU) Nur Fatin Soffea Sofi, 7, untuk terus bersemangat hadir ke sekolah.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Ahmad, Langkawi itu berkata, dia tidak mahu menjadikan kekurangannya itu sebagai alasan untuk meneruskan cita-cita menjadi seorang guru pada suatu hari nanti.

Anak bongsu daripada dua beradik ini tinggal bersama bapanya yang bekerja sebagai nelayan.  Apabila ke laut, Nur Fatin Soffea akan dijaga oleh ibu saudara, Iffah Najwa Jaafar, 28, buat sementara waktu.

Oleh itu, Iffah Najwa merupakan ‘guru di rumah’ ketika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) lalu dilaksanakan.

Iffah Najwa Jaafar memberitahu sepanjang pelaksanaan perintah pergerakan (PKP) yang lalu, Nur Fatin Soffea sering bertanya bilakah sekolah akan dibuka semula.

"Jadi apabila dia dapat tahu sudah boleh ke sekolah, saya dapat lihat dengan jelas keterujaan di wajahnya.  Dia sangat gembira.

"Kaedah cikgu mengajar Soffea semasa PdPR adalah dengan menghubungi saya menggunakan panggilan video.  Jadi saya akan membantu dengan menunjukkan semula pelajaran kepadanya seperti yang ditunjukkan oleh guru.

“Namun apabila di rumah pelajarannya agak terhad berbanding jika Soffea ke sekolah.  Lebih-lebih lagi, saya sendiri tidak begitu mahir berkaitan huruf braille, jadi agak sukar untuk saya mengajar Soffea,” akuinya.

Sofea bersama Abangnya Amar Sufian bin Saufi, 10

Oleh itu, apabila sekolah sudah dibuka, Iffah Najwa juga gembira kerana ini bermakna anak saudaranya itu dapat hadir ke sekolah agar dia mampu memahami pelajaran yang diajarkan oleh guru dengan lebih baik lagi.

“Tambahan pula, Nur Fatin Soffea  agak rapat dengan guru, jadi pastinya dia juga berasa selesa dapat belajar di sekolah,” kata Iffah Najwa.

Berdikari

Menceritakan mengenai kehidupan anak saudaranya itu, Iffah Najwa memberitahu Sinar Harian bahawa Nur Fatin Soffea merupakan seorang yang sangat berdikari dan mampu membuat pelbagai perkara asas tanpa bantuan orang lain.

“Di rumah dia boleh buat banyak perkara dengan sendiri seperti tukar baju, mandi, basuh pinggan dan sebagainya. Semua perkara tersebut diajar oleh arwah ibunya, Jasnita Jaafar, yang meninggal dunia pada 7 Jun lalu.

“Apabila cikgunya membuat panggilan video, mereka kagum melihat Soffea mampu melakukan pelbagai kerja rumah dengan pantas.  Malah mereka juga sangat terkejut apabila mendapati Soffea mampu berlari-lari di dalam rumah," katanya.

GPSBestari turut difahamkan, pihak sekolah telah mengambil pendekatan dengan menekankan cara penggunaan tongkat serta adab bersosial bersama rakan-rakan -rakan sebagai pelajaran penting di tahun pertama Soffea di sekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp