
SK Felda Purun ukir sejarah baharu, rangkul kejuaraan Bahas Peringkat Kebangsaan 2025
Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Purun melakar sejarah apabila muncul juara Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2025 di Perlis pada Khamis.
Kejayaan itu bukan sekadar kemenangan buat sekolah luar bandar, malah menjadi kebanggaan seluruh Pahang apabila SK Felda Purun menjadi sekolah pertama dari negeri tersebut dinobatkan sebagai juara buat julung kalinya sejak pertandingan berprestij itu diperkenalkan.
Pasukan Bahas SK Felda Purun yang diwakili oleh Siti Nurnadhira Najwa Nazrol; Aisyah Nadira Mohd Azhar; Nur Khairina Ahmad Rozi; Nur Imanina Mohd Fauzi, kesemuanya berusia 12 tahun; dan Nur Amani Mohd Fauzi, 11, bertindak selaku pembangkang menewaskan wakil Melaka dalam perlawanan akhir dengan usul 'Generasi Alfa Pemacu Negara Gemilang'.
Lebih manis, Siti Nurnadhira turut diumumkan sebagai Pembahas Terbaik pusingan akhir, sekali gus mengubat kekecewaan apabila menghadapi masalah kesihatan serius ketika berbahas pada peringkat kebangsaan tahun 2023.

Ketua jurulatih, Norfaizah Mat Diah berkata, persediaan rapi mula dilakukan sejak awal tahun ini dengan memanfaatkan cuti persekolahan melalui sesi latihan bersama pasukan pembahas sekolah.
"Pengorbanan semua pihak yang memberikan komitmen terbaik mereka akhirnya berbaloi dengan kejayaan muncul juara tahun ini.
"Pencapaian terbaik pasukan ini sebelum ini ialah tempat kelima pada 2022, manakala pada tahun berikutnya gagal ke peringkat suku akhir," katanya pada Sabtu.
Ujarnya, sekolah itu tidak menyertai pertandingan berkenaan tahun lepas selain mengakui berdepan pelbagai ujian termasuk dirinya yang ditimpa kemalangan tiga minggu sebelum pertandingan berlangsung.
Namun jelasnya, sokongan kuat yang diberikan oleh Guru Besar, Zulbaharin Sulaiman, jurulatih lain serta warga sekolah selain menjadikan rakan sejawat, Mohd Shukri Hussin yang berpengalaman sebagai pembahas sebagai rujukan utama, banyak membantu kejayaan pasukan terbabit.
"Tidak dilupakan, apresiasi khusus buat Pegawai Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Siti Hafiza Shamsuddin yang sangat komited, berdedikasi dan sentiasa memberikan khidmat terbaik.
"Selain itu, penghargaan juga buat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bera, warga sekolah, ibu bapa dan komuniti yang sentiasa memberikan semangat. Ini adalah kemenangan bersama," kata Norfaizah yang juga guru Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah tersebut sejak 2015.
Beliau turut melahirkan rasa bangga dan bersyukur atas kejayaan murid-muridnya yang bermula dari kosong hingga mampu bergelar juara kebangsaan.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Felda Purun, Zulbaharin Sulaiman, turut menyatakan rasa syukur dan menghargai komitmen semua pihak dalam membantu pasukan bahas sekolah terbabit mencapai kejayaan tahun ini.
"Ini hasil kerja keras guru, murid, ibu bapa dan sokongan komuniti Felda. Sokongan kuat pelbagai pihak termasuk JPN Pahang dan PPD Bera turut banyak membantu kejayaan pasukan ini," katanya.
Beliau berkata, satu majlis kesyukuran akan diadakan pada Khamis depan dan bersyukur kerana menerima sumbangan seekor lembu bagi majlis tersebut.
Sementara itu, kejayaan pasukan bahas sekolah tersebut turut mendapat perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang merakamkan ucapan tahniah menerusi Facebook rasminya pada Jumaat.
"Syabas dan tahniah buat pasukan bahas Pahang yang diwakili oleh murid SK Felda Purun, Bera kerana telah muncul sebagai johan dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2025 yang diadakan di Perlis.
"Semoga usaha dan kejayaan ini menjadi contoh buat semua anak-anak murid negeri Pahang untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang, insya-ALLAH,” katanya. - Sinar Harian
Ringkasan AI
- SK Felda Purun juara Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2025
- Mewakili Pahang, menjadi sekolah pertama dari negeri tersebut yang menang
- Pasukan beranggotakan lima pelajar berusia 11 dan 12 tahun
- Siti Nurnadhira Najwa diumumkan sebagai Pembahas Terbaik
- Persiapan rapi sejak awal tahun dengan komitmen kuat dari pelbagai pihak membawa kepada kejayaan