makanataslantai
makanataslantai

Isu murid makan atas lantai, ini pengajaran yang boleh dipelajari

Adlan Farhan Azwan
23 May 2022 02:02pm
A
A
A

Dengan pembukaan sekolah secara bersemuka serta pengisytiharan fasa endemik, banyak sekolah mengambil kesempatan untuk mengadakan pelbagai program termasuklah Sambutan Hari Raya dan Hari Guru bersama murid-murid.

Namun, kemeriahan sambutan itu dicemari dengan insiden yang telah tular di laman media sosial baru-baru ini membabitkan murid-murid yang dilihat makan di atas lantai.

Rentetan daripada itu, banyak pihak terutamanya ibu bapa meluahkan kekesalan kerana perkara tersebut tidak seharusnya berlaku lebih-lebih lagi apabila kebersihan telah menjadi satu aspek yang amat penting dalam kehidupan seharian.

Selain itu, mereka juga mendesak agar siasatan dijalankan oleh pihak yang berkaitan agar ia tidak memberi tanggapan buruk kepada sekolah yang terlibat.

Di sebalik kejadian yang berlaku itu, sebaiknya masyarakat perlu mengambil iktibar daripada insiden ini agar ia tidak berulang kembali pada masa akan datang.

1. Lapik dengan tikar

Sekiranya pihak sekolah terpaksa mengambil keputusan untuk mengarahkan murid-murid duduk di atas lantai, sediakan tikar atau alas yang bersih supaya mereka boleh duduk dan makan dengan selesa.

2. Adab ketika menjamu selera

Sebaik-baiknya, elakkanlah meletakkan makan pada paras kasut yang sudah sememangnya kotor. Hal ini kerana makanan merupakan rezeki daripada Tuhan dan dianggap tidak beradab sekiranya meletakkan makanan pada paras yang sama dengan sesuatu yang kotor.

3. Kebersihan

Murid-murid amat mudah untuk terdedah dengan sebarang penyakit. Jadi, pihak sekolah harus peka dengan perkara ini lebih-lebih lagi apabila jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) meningkat setiap minggu melibatkan murid sekolah.

Dengan menjaga kebersihan, banyak jangkitan boleh dielakkan dan seterusnya memastikan murid-murid serta kakitangan sekolah sentiasa sihat.

4. Rapatkan jurang antara murid dan kakitangan sekolah

Sambutan Hari Raya merupakan antara detik yang seronok buat murid-murid. Jadi, guru serta kakitangan sekolah perlu mengambil peluang ini untuk mendekatkan diri mereka bersama murid-murid.

Apabila pihak sekolah mengarahkan murid-murid untuk makan atas lantai, ia mewujudkan satu jurang antara murid-murid dan guru-guru yang akan mendatangkan pelbagai permasalahan pada masa akan datang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok