Kaedah pembelajaran bertukar-tukar, emosi murid mula terganggu

A
A
A

Sejak Mac tahun lalu, Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 di mana proses pembelajaran secara bersemuka terpaksa ditukar kepada pembelajaran secara dalam talian.

Bagaimanapun sinar mula menerangi apabila pada Jun 2020, murid-murid menerima berita gembira apabila sekolah dibuka semula. Siapa sangka, kebahagiaan itu cuma seketika apabila sekali lagi negara terpaksa melaksanakan PKP 2.0 pada Oktober 2020 sekali gus menutup semua premis pendidikan.

Keadaan bertukar semula apabila murid-murid dibenarkan mengikuti sesi persekolahan seperti biasa selepas tamat PKP 2.0. Namun siapa sangka, Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), terpaksa dilaksanakan semula apabila pada 2021, kes peningkatan Covid-19 bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang sentiasa berubah-ubah memberi kesan kepada pemikiran kanak-kanak apabila ada di antara mereka yang mula keliru dengan sistem pendidikan yang dijalankan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Keadaan ini sudah tentu memberi gangguan kepada emosi mereka yang masih belum memahami keadaan semasa pada hari ini.

Bagaimanapun tidak ada pihak yang boleh menidakkan kehidupan norma baharu yang terpaksa dipatuhi ini. Walaupun perit, murid-murid perlu menerima hakikat bahawa keselamatan lebih penting daripada segala-galanya.

Oleh itu, hari ini GPSBestari ingin berkongsi tip daripada seorang guru kaunseling untuk dipraktikkan oleh murid-murid bagi mengawal emosi dan rohani semasa menjalani PdPR di rumah:

1) Sentiasa bersedia fizikal, mental, emosi, dan rohani

Murid-murid perlu mempersiapkan fizikal, mental, emosi, dan rohani bagi menjalani proses pembelajaran di rumah. Apabila diri berada dalam keadaan bersedia, kita mampu menghadapi dugaan dan cabaran dengan baik.

2) Sentiasa memotivasi diri

Tindakan memotivasi diri sendiri adalah cara yang paling baik bagi mengelakkan pemikiran terganggu dengan pelbagai masalah persekitaran. Oleh itu, murid-murid perlu tingkatkan semula motivasi dalam diri untuk mengikuti norma baharu di rumah. Sentiasa pesan pada diri bahawa tanpa cabaran anda tidak akan berjaya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

3) Sentiasa dapatkan nasihat guru

Jika murid-murid berasa tertekan, segera hubungi guru bimbingan dan kauseling bagi mendapatkan nasihat. Cara ini sangat penting bagi mengelakkan diri pelajar dikuasai perasaan negatif sekali gus menjadikan keadaan bertambah buruk.

4) Utamakan kesihatan diri dan mental

Kesihatan diri dan mental perlu dijaga sebaik-baikya bagi memastikan diri kita sentiasa berada dalam keadaan baik. Sentiasa menyiapkan tugasan pada awal waktu dan tidur secukupnya bagi mengelakkan tekanan pada hari berikutnya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

5) Melakukan amalan rohani

Sentiasa laksanakan solat lima waktu, membaca al-Quran dan memperbanyakkan solat sunat bagi memastikan diri kita berada dalam keadaan tenang sentiasa.

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh digunakan oleh murid-murid semasa mengikuti proses pembelajaran sepanjang tempoh pandemik ini.

Sehubungan itu, para pelajar tidak boleh berputus asa dalam meneruskan perjuangan sebagai pelajar kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Oleh itu, manfaatkan sebanyak mungkin pelbagai cara agar kesihatan diri dan emosi sentiasa berada dalam keadaan baik sekali gus proses pembelajaran dapat dijalani dengan baik.

Sumber Youtube: Pembugaran emosi buat murid sekolah rendah dan pesanan tersayang guru bimbingan dan kaunseling.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok