
Kenali kata adjektif untuk bantuan pembelajaran di rumah
Kata adjektif merupakan kata sifat yang menjadi ‘inti’ dalam binaan frasa adjektif. Frasa adjektif mampu terbentuk hanya dengan satu kata adjektif sahaja ataupun lebih.
Dalam sebaris ayat, kata adjektif sangat mudah untuk dikenalpasti dan seorang pelajar dapat menguasai jenis-jenis kata adjektif yang terkandung dalam sistem tatabahasa.
Kata adjektif terbahagi kepada sembilan jenis iaitu kata adjektif sifatan atau keadaan, kata adjektif warna, kata adjektif ukuran, kata adjektif bentuk, kata adjektif waktu, kata adjektif jarak, kata adjektif cara, kata adjektif perasaan, dan kata adjektif pancaindera.
Penguasaan kata adjektif ini akan membantu pelajar dalam mengenalpasti sesebuah frasa dan ayat yang digunakan.
Berikut GPSBestari kongsikan contoh-contoh kata adjektif sebagai rujukan para pelajar dalam proses pembelajaran di rumah.
1)Kata adjektif sifatan atau keadaan
Pandai, berani, lemah, baik, curiga
Contoh ayat: Lelaki itu sungguh berani berhadapan dengan dua orang pencuri di rumahnya.
2)Kata adjektif warna
Kelabu, merah, hijau, biru, putih
Contoh ayat: Tolong belikan saya kemeja warna putih untuk temuduga esok.
3)Kata adjektif ukuran
Kerdil, nipis, renek, panjang, besar
Contoh ayat: Ibu memilih katil yang besar untuk bilik tidur adik.
4)Kata adjektif bentuk
Lonjong, leper, bundar, lekuk, bengkok
Contoh ayat: Matanya yang bundar menjadikan dirinya bertambah cantik.
5)Kata adjektif waktu
Lampau, suntuk, lama, cepat, lewat
Contoh ayat: Sudah lama dia tidak menziarahi pusara ibunya.
6)Kata adjektif jarak
Rapat, jauh, dekat, hampir
Contoh ayat: Saya terlalu rapat dengan dirinya.
7)Kata adjektif cara
Lincah, laju, jelas, perlahan, gopoh
Contoh ayat: Kanak-kanak itu terlalu gopoh berjalan sehingga terlanggar tiang.
8)Kata adjektif perasaan
Rindu, segan, benci, gembira, marah
Contoh ayat: Dia sangat segan untuk bertanyakan soalan.
9)Kata adjektif pancaindera
i)Deria rasa
Lazat, masam, kelat, payau, lemak.
Contoh ayat: Dia tertelan air sungai yang payau itu.
ii)Deria dengar
Merdu, lunak, nyaring, mersik, garau
Contoh ayat: Suara gadis itu sungguh lunak didengar.
iii)Deria pandang
Cantik, molek, segak, hodoh, buruk.
Contoh ayat: Lelaki itu kelihatan segak dengan berseragam polis.
iv)Deria bau
Wangi, tengik, hanyir, hancing, busuk.
Contoh ayat: Kerepek itu terasa tengik.
v)Deria sentuh
Licin, lembap, lembut, halus, kasar.
Contoh ayat: Baju diampaian itu masih lembap.
Contoh jenis-jenis kata adjektif di atas adalah kata-kata yang sering digunakan dalam sesebuah penulisan.
Sehubungan itu, pelajar perlu menguasai penggunaan kata adjektif ini kerana penguasaan terhadap kata adjektif ini sangat penting bagi mengelakkan terjadinya kekeliruan dalam membina sesuatu ayat.
Oleh itu, GPSBestari berharap para pelajar sekolah khususnya adik-adik sekolah rendah dapat menjadikan perkongsian ini sebagai rujukan dalam menyelesaikan masalah adik-adik dalam membina ayat dan frasa adjektif dengan baik.
Sumber: Nik Safiah Karim et.al, Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga