Untitled design (1)
Untitled design (1)

Pengisian menarik sempena Ramadan, guru dan murid teruja sertai pelbagai aktiviti di sekolah

Roshlawaty Md Raieh
04 Apr 2022 03:29pm
A
A
A

Setiap sekolah pastinya akan menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan.

Begitu juga dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah, Selangor yang menganjurkan program Ihya Ramadan Tahun 2022, ‘Al-Quran Dihayati, Ramadan Diberkati’ anjuran Panitia Pendidikan Islam.

Setiausahanya, Cikgu Hidayu Moklas, 36, berkata, beberapa aktiviti untuk kebaikan bersama telah pun dirancang.

“Antaranya, Tadarus al-Quran (satu hari Ramadan, satu juzuk al-Quran), Khatam al-Quran Perdana, Program Intensif Khatam Tahun Enam, Tazkirah Nuzul al-Quran dan bacaan Yasin setiap hari Jumaat.

“Sasaran peserta adalah dalam kalangan warga sekolah dan sebagai penganjur, kami akan melaksanakan segala aktiviti ini mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Cikgu Hidayu

Ditanya mengenai waktu pelaksanaan setiap aktiviti Ramadan, Cikgu Hidayu berkata, ada masa-masa yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah untuk kesemua aktiviti tersebut.

“Bagi Tadarus al-Quran, ia akan diadakan pada masa rehat mengikut setiap aliran. Program Intensif Khatam Tahun Enam pula akan dibuat pada waktu subjek Pendidikan Islam minggu kedua Ramadan.

“Tazkirah Nuzul al-Quran pula diadakan pada Jumaat minggu ketiga Ramadan manakala Khatam al-Quran Perdana pada Jumaat minggu keempat Ramadan.

Murid Tahun Enam SK Puchong Indah, Muhamad Alif Firdaus Sanazi menyertai aktiviti Ramadan untuk mencari pengalaman, mempertingkatkan bacaan al-Quran dan menambah pahala.

“Dengan adanya aktiviti ini, besar harapan saya agar program Ihya Ramadan Tahun 2022 dapat memupuk minat membaca al-Quran dalam diri setiap murid dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya.

Baca juga 

8 makanan sunah yang perlu diamalkan

Teringin belajar di Jepun, ini antara biasiswa yang pelajar boleh cuba mohon

Sementara itu, Guru Besar, Nik Suhaida Razak, 53, memuji program tahunan Panitia Pendidikan Islam yang bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai pengisian keagamaan yang menarik.

Beliau yakin semua aktiviti tersebut akan mendapat sambutan yang menggalakkan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Kata Cikgu Nik Suhaida, program Ihya Ramadan SK Puchong Indah wajar diteruskan pada tahun akan datang dengan pelaksanaan lebih banyak aktiviti berbentuk perkongsian ilmiah secara santai dan memberi manfaat kepada warga sekolah dan komuniti setempat.

Cikgu Nik Suhaida

Cari pengalaman, bina keyakinan diri

Dalam perkembangan lain, Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, SK Dato' Wan Kemara, Changlun, Kedah turut tidak ketinggalan menyediakan aktiviti menarik untuk warga sekolah sempena Ramadan tahun ini

Guru Pendidikan Islamnya, Cikgu Maszurah Mohamad, 42, berkata, program yang dikenali sebagai Ihya Ramadan SK Dato' Wan Kemara 2022 itu bertemakan ‘Ramadan Dinanti Keberkatan Dicari’ yang bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dengan bacaan al-Quran dan melatih murid bersedekah di bulan mulia dan menolong rakan yang susah.

Cikgu Maszurah

“Kami menyediakan aktiviti keagamaan sepanjang bulan ini seperti Pertandingan Tilawah al-Quran (terbuka kepada semua murid Tahun Satu hingga Enam), solat berjemaah dan tazkirah Ramadan guru dan staf (setiap Selasa sepanjang Ramadan), Tadarus al-Quran murid dan guru (waktu rehat), Tabung infaq Ramadan (setiap hari) dan Kuiz Ramadan.

“Semua aktiviti ini terbuka kepada murid-murid yang beragama Islam. Pelbagai hadiah, sijil dan trofi akan diberikan kepada pemenang,” katanya.

Antara peserta Tilawah al-Quran yang terdiri daripada murid-murid SK Dato' Wan Kemara.

Ujar Cikgu Maszurah lagi, tahun ini, ada beberapa kelainan untuk program Ramadan yang dianjurkan.

“Alhamdullilah, pelancaran akan dilakukan di dewan sekolah yang melibatkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Ia akan dimulakan dengan alunan ayat al-Quran daripada murid Tahun Enam dan seterusnya beberapa pengisian slot lain,” jelasnya yang berharap program dapat dilaksanakan seperti yang dirancang dan memberi impak positif terhadap kemenjadian murid serta mendapat sambutan daripada semua pihak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Guru Besar, Mohd Nizam Saidin, 49, berkata, program Ihya Ramadan yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab ini telah membawa kesedaran tentang keberkatan dan zat yang ada dalam bulan yang mulia ini.

Malah, anak-anak didik SK Dato’ Wan Kemara telah bersedia untuk mengimarahkan Ramadan untuk meraih pahala sebanyak mungkin.

Cikgu Mohd Nizam

“Harapan saya agar pihak sekolah menyediakan ruang dan peluang sempena bulan ini untuk mendidik murid-murid tentang kehadiran Ramadan yang penuh barakah bagi mencari reda ALLAH,” katanya.

Majlis penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta program Ihya Ramadan bagi SK Dato' Wan Kemara sebelum ini.

Sementara itu, murid Tahun Enam, Nur Zinnirah Mohd Azni, merupakan antara murid yang sentiasa menyertai aktiviti Ramadan anjuran sekolah.

Aktiviti seperti Pertandingan Tilawah al-Quran, Tadarus al-Quran, Kuiz Ramadan dan Sedekah Ramadan adalah antara yang pernah disertai murid ini.

Nur Zinnirah berkata, dia menyertai aktiviti Ramadan disebabkan mahu mencari pengalaman, membina keyakinan diri dan mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

“Ayah dan ibu, Mohd Azni Mohd Nor dan Siti Syahida Che Pi sentiasa pesan supaya aktifkan diri dengan program sekolah.

Nur Zinnirah (tiga dari kanan) bersama keluarga yang sentiasa menyokong penglibatannya dalam aktiviti Ramadan di sekolah.

“Kata mereka, banyak impak positif yang akan saya dapat jika kerap sertai program anjuran sekolah. Jadi, saya ambil cabaran ini dan nekad akan terus menyertai apa jua aktiviti dan pertandingan mengikut kemampuan diri,” katanya yang kini memegang jawatan sebagai pengawas sekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok