8 makanan sunah yang perlu diamalkan
8 makanan sunah yang perlu diamalkan

8 makanan sunah yang perlu diamalkan

Roshlawaty Md Raieh
04 Apr 2022 02:20pm
A
A
A

Pengambilan makanan yang sihat seharusnya dipupuk dari rumah dan ia wajar dimulakan sejak kanak-kanak lagi supaya menjadi satu amalan sepanjang hayat.

Dalam konteks ini, cara pemakanan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW merupakan cara yang patut dicontohi.

Ini kerana, pemakanan yang diambil oleh Rasullullah SAW sememangnya memfokuskan kepada kesihatan diri.

Minggu ini, Sinar Bestari kongsikan senarai makanan sunah yang diamalkan oleh baginda.

Sunah merupakan hadis atau sirah yang diriwayatkan dan diceritakan berkait dengan Rasulullah SAW dan ia juga berkenaan perlakuan mahupun perkataan yang dilakukan atau disebut oleh baginda.

Apabila berbicara mengenai makanan, banyak yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW dan apa yang dimakan oleh baginda itulah yang dinamakan makanan sunah.

Berikut merupakan cadangan makanan sunah yang boleh anda amalkan.

1) Madu

Merupakan makanan yang dihasilkan oleh lebah dan ia mengandungi banyak zat baik untuk badan. Antara komponen yang membawa kebaikan kepada badan ialah enzim, vitamin, mineral, kandungan air dan pinocembrin. Pinocembrin ialah bahan antioksida yang dapat membantu fungsi otak. Madu bukan sahaja makanan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW, malah ia juga sering disebut dalam al-Quran. Madu ini juga telah disebut sebagai antara penawar untuk pelbagai penyakit.

2) Kurma

Sememangnya tidak asing lagi kepada umat Islam. Setiap kali tibanya Ramadan, kurma dijadikan sebagai pembuka selera untuk berbuka puasa. Buah kurma memiliki banyak kebaikan seperti mineral, vitamin, serat dan antioksida yang baik untuk fungsi badan. Selain itu, buah kurma juga  menjadi salah satu makanan yang dapat menggantikan makanan diet. Ini menunjukkan bahawa kurma banyak faedahnya kerana selain dapat menguatkan tenaga, tulang dan  mengawal berat badan ia juga menjadi pengawal untuk sistem saraf. Buah kurma sesuai untuk semua lapisan masyarakat termasuk wanita yang mengandung.

3) Buah Tin

Juga ada disebutkan dalam al-Quran dan ini menunjukkan betapa pentingnya buah tin kepada umat Islam. Buah tin mengandungi kandungan vitamin, mineral, serat dan antioksida yang tinggi. Buah tin ini seakan-akan buah kurma dan apabila kandungan yang ada dalam buah tin ini lengkap dan sempurna, maka badan kita dapat berfungsi dengan keadaan yang optimum.

4) Habatus Sauda

Juga makanan yang dikenali dalam kalangan umat Islam. Kebanyakan umat Islam mengamalkannya dalam makanan harian dan habatus sauda terkenal dengan kebolehannya kepada sistem imunisasi badan dan juga dapat melawan penyakit dalam badan.

5) Air zam-zam

Air zam-zam terkenal dalam kalangan masyarakat kita. Ini kerana dikatakan air zam-zam dapat mengubati pelbagai jenis penyakit dengan izin ALLAH. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya air zam-zam adalah air yang diberkati, air tersebut adalah makanan yang mengenyangkan”. Air zam-zam ini bukan sahaja boleh diminum, malah boleh juga dijadikan sebagai air wuduk.

6) Buah Delima

Buah delima juga banyak disebut dalam al-Quran. Ia mengandungi antioksida yang dapat membantu daripada sakit jantung dan mampu mengembalikan tekanan darah pada paras yang normal.

7) Susu Kambing

Minuman ini juga tidak asing dalam kalangan umat Islam kerana Rasulullah SAW merupakan seorang pengembala kambing. Ini menunjukkan bahawa haiwan ini memberi manfaat kepada masyarakat. Selain dagingnya yang sedap dimakan, susunya dapat membantu mana-mana individu yang mengalami masalah asma, reumatik, demam kuning, imsomnia dan menguatkan tulang. Menurut kajian, susu kambing lebih baik daripada susu lembu dan seakan-akan menyamai kebaikan susu ibu.

8) Barli

Barli pernah diamalkan oleh Rasululah SAW. Baginda menjadikan barli sebagai sup dan memberikannya kepada orang demam. Kebaikan bijian ini adalah untuk memberi kesejukan kepada badan selain dapat mengurangkan kolestrol, melancarkan proses membuang air kecil dan membantu memulihkan masalah sembelit.

Artikel berkaitan 

Tip pemakanan sihat semasa bulan Ramadan

Cakna murid berisiko cicir demi kelestarian masyarakat dan negara

UniKL penuhi impian untuk belajar di Korea Selatan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan