f8a176c8-eb6e-43f6-adc7-c22d9cb3d034
f8a176c8-eb6e-43f6-adc7-c22d9cb3d034

Permainan interaktif powerpoint menarik perhatian Si Cilik

A
A
A

Pada musim pandemik Covid-19 yang mengharuskan proses pengajaran terpaksa dilakukan di rumah, ramai guru yang buntu untuk menjayakan sesi pembelajaran secara maya ini.

Tidak mudah untuk memancing perhatian murid-murid khususnya si cilik yang baru melangkah masuk ke alam persekolahan.

Usia kanak-kanak yang masih belum puas untuk bermain menjadikan mereka hilang fokus semasa sesi pembelajaran dijalankan.

Keadaan semasa yang menghalang mereka merasai sesi pembelajaran secara bersemuka telah memberi cabaran kepada guru-guru untuk mengawal dan mendidik murid-murid ini dengan sempurna.

Pelbagai inisiatif dilakukan bagi memastikan murid-murid ini memahami setiap topik yang dipelajari setiap hari.

Namun malangnya, dari hari ke hari murid-murid ini seolah-olah tidak tertarik bahkan menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berlangsung.

Susulan masalah ini, GPSBestari berkongsikan tip untuk guru-guru bagi menjayakan dan menyesuaikan teknik pengajaran dengan keadaan semasa pada hari ini.

Sehubungan itu, para guru perlu menukarkan teknik pengajaran formal kepada teknik pendidikan berteraskan permainan secara dalam talian.

Ini kerana, teknik permainan semasa belajar sangat penting dan berkesan bagi membantu murid-murid untuk sentiasa kekal di depan skin telefon atau komputer riba sepanjang kelas berlangsung.

Antara contoh permainan yang boleh digunakan sebagai sumber pembelajaran adalah Wheel of Fortune, Who to be a Millionaire, Monster Shooting, Angry Birds, Castaway dan Save Peter.

Ini kerana, elemen animasi, karakter, warna dan teknik permainan yang digunakan dalam aplikasi ini sangat membantu minda pelajar untuk berfikir secara lebih kreatif dan kritis dalam usaha mencari jawapan terhadap soalan-soalan yang diberikan.

Melalui teknik permainan yang diterapkan, si cilik akan berasa lebih seronok dan bersemangat untuk mengikuti kelas bersama guru dan rakan-rakan.

Kaedah pembelajaran secara santai ini bukan sahaja memberi pemahaman yang mendalam terhadap murid-murid bahkan mampu mengubah pemikiran negatif mereka ke arah yang positif.

Oleh itu para guru perlu menguasai dan mengaplikasikan kemudahan permainan ini mengikut kesesuaian mata pelajaran yang diajari.

Semoga perkongsian ini mampu membantu para guru dalam menyelesaikan permasalahan semasa mengajar si cilik sepanjang tempoh pandemik dilaksanakan.

Sumber Youtube: Cikgu Ainul, 6 Permainan Interaktif Powerpoint yang menarik

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok