Program pertukaran beri peluang Cikgu Nasir timba pengalaman di Korea Selatan
Program pertukaran beri peluang Cikgu Nasir timba pengalaman di Korea Selatan

Program pertukaran beri peluang Cikgu Nasir timba pengalaman di Korea Selatan

Roshlawaty Md Raieh
22 May 2022 12:50am
A
A
A

Program pertukaran atau program luar negara merupakan antara program antarabangsa yang paling ditunggu pelajar mahupun guru-guru dalam usaha menimba ilmu pengetahuan dari negara luar.

Bagaimanapun bukan calang-calang pelajar mahupun guru yang dapat mengikuti program pertukaran ini kerana selain perlu memenuhi beberapa kriteria, mereka juga dianggap sebagai duta negara, membawakan imej Malaysia ke mata dunia.

Bagi Cikgu Mohd Nasir Zakaria, 39, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tun Hussein Onn 2, Cheras, Selangor, peluang menyertai Program Pertukaran Guru Korea Selatan-Malaysia (KOMTEP) pada tahun 2014 telah memberikan pelbagai kisah dan pengalaman menarik yang pastinya akan diingati sampai bila-bila.

Menurut Cikgu Nasir, KOMTEP adalah program pertukaran antara guru Malaysia dan Korea di bawah Asia-Pacific Teacher Exchange For Global Education (APTE) yang melibatkan tujuh buah negara Asia Pasifik iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia, Mongolia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Cikgu Nasir berkata, KOMTEP bukanlah program antarabangsa yang pertama disertainya, kerana pelbagai lagi program kerjasama dengan negara lain turut diikutinya pada masa lalu.

Antaranya, jalinan kerjasama bersama sekolah di Singapura, Manila, Filipina, Brunei dan Jakarta, Indonesia.

Ujarnya lagi, kebanyakan program antarabangsa yang disertainya itu lebih menjurus kepada perkongsian berkenaan aspek kesukanan di sekolah.

“Ilmu sukan ragbi yang saya dapat menerusi program antarabangsa ini telah saya bawa ke SK Putrajaya Presint 8 (1) sehingga pasukan ragbi sekolah ini berjaya menyertai kejohanan antarabangsa.

“Malah, pengiktirafan terhadap sekolah ini yang mana menjadi sekolah pertama di Malaysia mewujudkan pasukan ragbi kategori wanita cukup menggembirakan saya.

“Sekurang-kurangnya, apa yang saya peroleh melalui program antarabangsa terdahulu membuahkan hasil,” jelasnya dengan menambah program pertukaran ke luar negara bukanlah program berbentuk pelancongan biasa yang mana para peserta bebas merakam momen-momen indah untuk dikenang.

Sebaliknya, ia adalah program ilmiah yang harus guru-guru beri tumpuan dan kumpul segala ilmu penting untuk dikongsi dengan warga sekolah nanti.

Baca juga 

4 pelajar beraya di Malaysia, kongsi pengalaman dan kegembiraan dengan semua masyarakat

11 kerjaya bidang komputer yang boleh pelajar ceburi bila tamat pengajian kelak

Peserta perlu jujur

Dalam menjalani setiap program pertukaran antarabangsa, setiap peserta perlu bersikap jujur dan jangan bersikap hipokrasi dalam mengetengahkan program yang hendak disampaikan.

“Pihak negara pengelola atau penaja mahu melihat aspek yang ingin diketengahkan secara jujur dan bersahaja, dan bukannya yang diolah sebagai sesuatu yang kelihatan gah.

“Paling penting di sini adalah perkongsian yang membawa kebaikan pada negara yang menyertainya. Misalnya, jika elemen sukan menjadi fokus, wajib nyatakan kalah dan menang adalah adat pertandingan.

“Pasukan yang menang tidak semestinya sombong manakala pasukan yang kalah,  perlu belajar daripada kesilapan dan berusaha memperbaiki diri di masa akan datang,” kata Cikgu Nasir.

Sambung guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan ini lagi, program pertukaran itu telah membawa banyak kebaikan dalam dirinya.

Selain masih berhubungan dengan rakan-rakan dari serata negara, beliau turut mengaplikasikan segala ilmu yang diperoleh.

Dalam pada itu, Cikgu Nasir menitipkan sedikit nasihat kepada semua guru yang terpilih untuk menyertai program pertukaran ke luar negara kelak.

“Peserta perlu sentiasa aktif dan kekalkan konsistensi aktiviti selepas program berakhir. Kemudian, beri peluang pada diri untuk berkongsi segala idea dan pengalaman kepada warga sekolah dan komuniti.

“Kemudian, jadikan program ini sebagai platform untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dalam pelbagai aspek.

“Seterusnya, sentiasa menjaga nama baik diri, program dan negara dengan menunjukkan sikap matang apabila berinteraksi dengan rakan sekerja. Selalu menjadikan pentas antarabangsa sebagai platform yang boleh memberikan banyak peluang dan ruang untuk memajukan diri. Dan yang paling penting, selalu mengukir senyuman, peramah dan jaga pertuturan kerana membawa imej sebagai duta kecil pendidikan ini bukan satu perkara yang mudah,” ujarnya.

Hari raya di perantauan

Kunjungan Cikgu Nasir bukan sahaja berjaya memperoleh ilmu dalam kerjayanya bahkan dia turut mendapat pengalaman yang pastinya akan menjadi kenangan indah sampai akhir hayatnya.

“Selain dapat menimba pelbagai ilmu di negara setiap negara yang dikunjungi, saat yang paling manis dan akan diingati sampai bila-bila apabila saya menyambut Hari Raya Aidilfitri di perantauan (Korea Selatan) pada tahun 2014.

“Memang sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta, saudara mara dan sahabat handai.

“Namun, rindu itu terubat juga apabila saya masih boleh beraya dengan peserta program. Cuma suasananya agak lain berbanding sambutan Aidilfitri di Malaysia,” katanya mengakhiri bicara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ciri penting yang perlu seorang guru miliki sekiranya menyertai program pertukaran ke luar negara

Sikap

Seorang guru yang ingin menyertai program seperti ini harus mempamerkan sikap yang matang dan profesional.  Status guru pertukaran ini juga membawa nama negara di mata dunia. Bersikap matang seperti bersedia menerima perbezaan pendapat dan memberikan pendapat terhadap sesuatu perkara.

Mereka juga harus mampu mempamerkan sikap matang setiap kali berhadapan dengan rakan-rakan dari negara yang berbeza. Jangan terlalu bergantung kepada teori sahaja tetapi perlu juga memiliki pengetahuan dan pengalaman sedia ada di mana perlu sentiasa peka dengan perubahan dunia yang begitu pantas berubah.

Seterusnya, jangan hanya bergantung kepada budaya sulaman dan anyaman atau mencanting batik sahaja tetapi lebih daripada itu mereka harus mempunyai minat yang mendalam pada perkara lain dan dapat buktikan bahawa mereka adalah yang terbaik.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok