Artikel Berkaitan

Asah bakal doktor

Doktor antara kerjaya yang cukup popular dalam kalangan murid-murid setiap kali ditanya apakah cita-cita mereka apabila besar nanti.

Bukan sahaja ingin mengubati ibu bapa apabila mereka sakit kelak, tetapi anak-anak kecil ini juga berpendapat kerjaya sebagai doktor dapat berbakti kepada masyarakat.

Ini antara objektif Kelab Doktor Muda diwujudkan di kebanyakan sekolah rendah dan juga menengah seluruh negara .

Pada masa yang sama, menerapkan nilai-nilai murni serta amalan gaya hidup sihat dalam diri setiap pelajar.

Murid Tahun 5, Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah, Nurul Nuha Norman berkata, penglibatannya dalam Kelab Doktor Muda adalah kerana minat selain bercita-cita menjadi seorang doktor.

Nurul Nuha Norman

Memberitahu ingin menyumbang keringat dan juga tenaga untuk negara dan masyarakat, anak bongsu daripada dua adik beradik ini berharap cita-citanya akan tercapai.

“Saya sememangnya bercita-cita ingin menjadi seorang doktor apabila besar nanti dan ibu bapa amat menyokong impian ini.

“Jadi apabila sekolah mewujudkan Kelab Doktor Muda, saya tidak melepaskan peluang untuk menjadi ahli seterusnya menimba ilmu perubatan melalui kelab ini.

“Pada masa yang sama, menjadi sebahagian daripada ‘keluarga’ Kelab Doktor Muda memberi 1,001 pengetahuan yang begitu manfaat dan tidak mungkin diperolehi di mana-mana melainkan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT),” ujarnya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Yakin mampu menjadi ejen penyampai mesej kepada rakan sebaya dan juga ahli keluarga, Nurul Nuha menyatakan, dia akan terus menjadi ahli kelab Doktor Muda di peringkat sekolah menengah.

Aktiviti ketika pandemik Covid-19

Bercerita lebih lanjut mengenai aktiviti kokurikulum sejak pandemik Covid-19 melanda, ulas Nurul Nuha, ia tidak membataskan pergerakan kelab tersebut yang diadakan pada setiap hari Rabu.

“Seperti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kami turut mengadakan perjumpaan secara maya.

“Dengan teknologi hari ini kami pastinya tidak ketinggalan cuma bezanya ini adalah perjumpaan ahli-ahli kelab bersama cikgu.

“Walaupun perjumpaan seminggu sekali tapi modul yang telah dirancang akan diberikan agar kami terus mendapat ilmu baharu selain tidak melupakan ilmu-ilmu yang diajar sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Nurul Nuha sedikit terkilan kerana ahli-ahli kelab tidak dapat melakukan lawatan ke hospital mahupun klinik untuk mendapat lebih gambaran jelas bagaimana kerjaya sebagai seorang doktor.

Pelajar cemerlang

Sementara itu, Pemenang Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan Perak Darul Ridzuan 2019, Nur Hani Umairah Mohd Shahrizal, 14, menyifatkan sepanjang tiga tahun menjadi ahli Kelab Doktor Muda ia banyak memberi ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

Pemenang Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan Perak Darul Ridzuan 2019, Nur Hani Umairah Mohd Shahrizal.

Boleh digunakan ketika  kecemasan, segala ilmu yang ditimbanya ketika di sekolah rendah masih berguna sehingga hari ini.

“Mempelajari rawatan asas ketika berlakunya kecemasan merupakan ilmu yang cukup berguna dan ia boleh dipraktikkan pada bila-bila masa.

“Sekurang-kurangnya asas ilmu perubatan ini boleh digunakan sementara menunggu bantuan dari hospital.

“Ternyata segala ilmu perubatan yang diperolehi ketika menjadi ahli Kelab Doktor Muda dan juga lawatan ke hospital sedikit sebanyak mendedahkan kami kepada situasi sebenar kerjaya sebagai seorang doktor,” jelasnya yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok, Kedah.

Sememangnya merupakan seorang pelajar yang cukup aktif di dalam bidang kokurikulum seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, Kelab Doktor Muda dan juga sukan badminton, Nur Hani juga merupakan pelajar cemerlang di sekolahnya.

Maka tidak hairanlah Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan Perak Darul Ridzuan 2019 menjadi miliknya.

Berbicara lebih lanjut mengenai kelab tersebut, Nur Hani menjelaskan, kelab ini banyak membantunya meningkatkan ilmu pengetahuan terutamanya dalam bidang kesihatan di samping memupuk amalan gaya hidup sihat sejak kanak-kanak.

Apabila menjadi ahli kelab ini, katanya, secara tidak langsung ia menilai kemampuan, kreativiti, kepekaan dan kemahiran sebagai ejen dalam menyampaikan mesej kesihatan kepada rakan sebaya.

Seterusnya, mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang kecergasan dan sekali gus membudayakan aktiviti fizikal dalam kalangan masyarakat hari ini.

Ternyata, Kelab Doktor Muda mampu menyumbang ke arah mencapai aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia terutama dalam aspek kemenjadian murid.

Ahli Kelab Doktor Muda Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah bergambar kenangan selepas konvensyen peringkat daerah pada tahun 2019.

Info

KELAB DOKTOR MUDA
– Berkonsepkan ‘Dari Pelajar, Untuk Pelajar, Kepada Pelajar’.
– Merupakan kerjasama pintar antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan sejak 1989.
– Bertujuan melahirkan pelajar sihat dan cergas, sekali gus berperanan memberi penerangan mengenai isu kesihatan selain mendedahkan amalan gaya hidup sihat serta kecergasan fizikal kepada para pelajar.
– Dijadikan sebagai aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah rendah sejak 2006.
– Ahli-ahlinya dipilih oleh pihak sekolah berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan seperti sihat, kemas, berpersonaliti menarik, memiliki sifat kepimpinan, bertanggungjawab, berpengaruh, suka menolong dan cemerlang dalam akademik

Ahli-ahli kelab Doktor Muda Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah mengambil bahagian pada Konvensyen Kelab Doktor Muda peringkat negeri pada tahun 2019.

Artikel Terkini