photo6140986309481705037
photo6140986309481705037

SK Chopin buktikan yang kategori Sekolah Kurang Murid juga mampu cipta kejayaan luar biasa

Roshlawaty Md Raieh
09 Dec 2021 03:02pm
A
A
A

Walaupun dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), namun Sekolah Kebangsaan (SK) Chopin, Parit, Perak, telah membuktikan bahawa mereka mampu mencipta kejayaan setanding dengan sekolah berprestij yang lain.

Ini dibuktikan apabila mereka berjaya membawa pulang tiga anugerah yang menjadi rebutan ramai para peserta pada pertandingan International Information Management Online Showcase (IIMOS 2021) baru-baru ini.

Anugerah yang diperoleh adalah Gold Award (kategori Junior Star); Top 5 Best Video Award (kategori Junior Star, nombor tiga) dan Gold Award (kategori Young Innovator).

Menurut Guru pembimbing, Cikgu Sharifah Norhuda Lod Rahman, rahsia kejayaan pasukan SK Chopin ini terletak pada disiplin setiap ahli-ahlinya.

“Kami amalkan prinsip ‘Cara Kita’ iaitu C-Cakna, A-Adaptasi, R-Raih dan A-Aspirasi.

“Bila semua ini digabungkan, maka lahirlah kejayaan dalam pasukan,” katanya yang juga guru bahasa Inggeris.

Disertai 30 buah sekolah dari seluruh Malaysia, IIMOS 202i dianjurkan oleh Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM cawangan Kelantan, Universitas Al-Azhar, Indonesia, dan Persatuan Pustakawan Malaysia.

Pertandingan yang bermula 15 Ogos hingga 30 November lalu bertujuan memupuk budaya inovasi dan reka bentuk dalam bidang pengajaran dan pembelajaran serta bidang lain yang berkaitan dalam kalangan pendidik, murid dan orang ramai.

Ia juga menyediakan platform berprestij untuk pendidik, pustakawan, murid dan orang ramai untuk mengambil bahagian dan mempamerkan inovasi dan reka bentuk mereka melalui platform digital.

Komitmen guru dan murid

Ketika ditanya tentang cara latihan, Cikgu Sharifah Norhuda berkata, tahun ini, apa yang dilakukan amat berbeza sekali kerana guru dan murid tidak dapat bersemuka.

“Namun begitu, situasi norma baharu ini tidak mematahkan semangat dan keinginan murid untuk mengambil bahagian.

“Mereka berlatih di rumah dengan bimbingan guru dengan menggunakan saluran media sosial seperti rakaman dan panggilan video serta bertukar-tukar mesej.

“Selain itu, guru juga mendapat komitmen sepenuhnya daripada ibu bapa dari segi menyediakan ruang yang selesa untuk murid berlatih dengan pemantauan keluarga masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, Guru Besar, SK Chopin, Hamzah Zakaria berkata, kejayaan anak-anak muridnya itu benar-benar menggembirakan seluruh warga sekolah.

“Saya berharap mereka dan juga murid-murid lain akan terus menyertai pelbagai pertandingan pada masa akan datang.

“Walaupun SK Chopin hanya mempunyai 43 orang murid, namun ia bukan halangan untuk kami menonjolkan bakat dan kecenderungan dalam bidang tertentu terutamanya dalam bidang inovasi di peringkat kebangsaan atau antarabangsa,” ujarnya.

Sambung Cikgu Hamzah, kejayaan sekolah itu juga adalah datang daripada faktor guru-gurunya yang sangat penyayang dan bertanggungjawab terhadap semua murid.

“Hubungan antara guru dan murid boleh dikatakan seperti ibu bapa dan anak-anak. Mereka saling mengambil berat dan prihatin antara satu sama lain.

“Ketika proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berlangsung, guru-guru sering berhubung dengan murid untuk mengetahui situasi mereka di rumah. Guru-guru mengharapkan agar mereka dapat berganding bahu menjayakan semua program dan pertandingan yang telah dirancang dan akan dilaksanakan sepanjang tahun.

“Selain itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Chopin juga sentiasa memberi komitmen sepenuhnya kepada pihak sekolah. Mereka sering kali berganding bahu dan membantu sekolah sama ada dari segi idea, tenaga dan juga kewangan,” jelas guru besar ini lagi.

SK Chopin yang beralamat di Kampung Chopin Kanan, Parit, Perak, merupakan sebuah sekolah yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja.

Dibina di atas tanah seluas 1.9653 hektar, sekolah ini siap pembinaannya dan mula beroperasi sepenuhnya pada 1953.

Sekarang, sekolah ini mempunyai 20 murid lelaki dan 23 murid perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 43 orang.

Dalam kategori SKM, SK Chopin merupakan sebuah sekolah rendah yang terletak di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Perak Tengah, bersempadan dengan daerah Kuala Kangsar.

INFO

1) Gold Award (kategori Junior Star)

- The Milkmaid And Her Pail oleh Alya Aleesya Mohd Syukur (murid Tahun Empat)

2) Top 5 Best Video Award (kategori Junior Star, nombor tiga)

- Alya Aleesya M0hd Syukur

3) Gold Award (kategori Young Innovator) (Inovasi BM-SiAP)

  • Mior Muhammad Aqil Mior Aswadi
  • Wan Nur Qumaira Mohd Zamzuri
  • Nur Airis Izzdihar Baharul Ilmi
  • Mazuraini Mansor (Guru pembimbing)

Artikel berkaitan 

Analisis item soalan, perlukah dilakukan selepas peperiksaan?

Satu juzuk al-Quran setiap hari, rahsia jadi pelajar cemerlang – Graduan Cemerlang UMK 

Tersenarai antara 50 calon seluruh dunia, Alesyah buat rakyat Malaysia gembira dan bangga!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok