sk taman megah
sk taman megah

Suthiksha dan Narashimma Naidu Baloo harumkan nama negara di peringkat antarabangsa, hasilkan inovasi bertaraf dunia

Mariatul Qatiah Zakaria
02 Sep 2021 03:48pm
A
A
A

Penghasilan inovasi secara berterusan dan berimpak tinggi dapat meningkatkan kecekapan sesuatu proses atau penyampaian, sekali gus memastikan keberlangsungan dan kemampanan dalam mengharungi cabaran ke arah menjadi sebuah negara maju.

Untuk itu, baru-baru ini Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Megah, Petaling Jaya, telah bekerjasama dengan ‘The Malaysian Innovation, Invension and Creativity Association’ (MIICA) dan berjaya melahirkan murid berinovasi, kreatif dan kritis berdasarkan PPPM 2013-2025.

Dalam kerjasama tersebut, dua orang murid SK Taman Megah telah berjaya menghasilkan inovasi yang bertaraf dunia dan berjaya memenangi beberapa pingat di peringkat antarabangsa.

Menurut Guru Besarnya, Guok Soon Leng, kedua murid tersebut yang merupakan adik beradik telah berjaya menghasilkan ‘Smart water plant system (SWPS) dan ‘PS herbal fit’.

Tutur beliau, kedua-dua inovasi tersebut telah dipertandingkan dalam beberapa pertandingan inovasi bertaraf antarabangsa antaranya di International Science & Invention Fair’ (ISIF) 2020 yang dianjurkan oleh Indonesian Young Scientist Association.

“Selain bersyukur dengan kejayaan yang diraih Suthiksha Baloo, 12, dan adiknya Narashimma Naidu Baloo, 10, pastinya saya dan warga SK Taman Megah berasa bangga dengan pencapaian kedua adik beradik ini yang menjadi contoh kepada murid-murid lain.

“Selain daripada projek-projek inovasi bertaraf antarabangsa yang dihasilkan, kedua-dua murid ini turut menceburkan diri dan memegang rekod dalam pelbagai jenis pertandingan peringkat sekolah, daerah, negara dan antarabangsa seperti pertandingan catur, boling, Matematik Olimpiad (UK), English Olimpiad (UK) dan Sains Olimpiad (UK, Philiphine dan USA).

“Diharapkan kedua-dua murid ini terus memperoleh lebih banyak kejayaan dalam bidang inovasi dan juga apa juga bidang yang mereka ceburi pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cikgu Soon Leng turut berterima kasih kepada Guru Besar, Tanarata International School, Barnali Guha; Guru Sains dan penasihat projek Sains sekolah, Jagathis Ravi Chandran, Dr. Punita Silivarajoo dan Dr. Rajeswari Narasingam  yang merupakan penyelia dan memastikan kejayaan kumpulan inovasi tersebut berterusan.

Yang pasti, katanya, penglibatan kedua-dua murid ini di peringkat antarabangsa  telah mengharumkan nama sekolah dan juga negara.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan dua murid tersebut dalam pertandingan International Science & Invention Fair’ (ISIF) 2020, Cikgu Soon Leng memberitahu, mereka telah bertanding bersama 300 kumpulan dari 35 buah negara dan berjaya memenangi pingat Tembaga.

Selain itu, pada 16 Disember lalu, inovasi tersebut turut  dipertandingkan di ‘Global Young Scientist Challenge’ (GYSC) 2020 anjuran IBS Global Poland & India Innovators Association dan telah memenangi pingat Emas.

Bukan itu sahaja, inovasi pasangan ini turut memengi Anugerah Khas dari ‘Malaysian Innovation, Invention & Creativity Association’ (MIICA) dalam Pertandingan Menghasilkan Video Sains untuk Youth International Science Fair 2021 di Indonesia.

Tidak terhenti setakat itu, kejayaan mereka diteruskan lagi menerusi pertandingan inovasi ‘The international Science Fair 2021 (YISF)’ pada 10 April 2021 dan berjaya membawa pulang dua pingat Emas.

Kedua-dua murid ini juga telah memenangi pingat Tembaga mengalahkan 180 kumpulan dari 21 buah negara di ‘International Science Project Competition’ (INTOC) 2021 yang berlangsung di Turki pada 29 Mei hingga 5 Jun lalu.

Tidak terhenti setakat itu, pasangan adik beradik ini turut melakar sejarah di ‘Wold Science Environment & Engineering Competition’ (WEESEC) 2021 yang diadakan di Indonesia pada 17 hingga 20 Jun lalu dengan memenangi pingat Tembaga.

Kedua-dua murid ini turut mengharumkan nama negara dengan memenangi satu pingat Emas dan satu pingat Tembaga dalam pertandingan ‘World Youth Innivation and Invention Award’ (WYIIA) 2021 yang berlangsung pada 18 hingga 21 Ogos, baru baru ini.

Antara sijil penyertaan yang diterima pasangan adik beradik Suthiksha dan Narashimma Naidu Baloo.

Dalam pada itu, Guru Besar Tanarata Internationa School, Barnali Guha turut berasa gembira dapat bekerjasama dengan SK Taman Megah dalam menghasilkan inovasi bertaraf dunia.

Pada masa yang sama, beliau juga berasa bangga dengan pencapaian murid sekolahnya, Chelsea Janani James, 10,  yang berjaya menghasilkan inovasi baharu berbentuk losyen untuk pesakit psiroisis.

“Inovasi berbentuk losyen ini turut mendapat perhatian para juri di ‘World Youth Innovation, Invention Award’ (WYIIA) 2021 di Indonesia baru-baru ini dan ia telah dianugerahkan pingat Tembaga.

“Inovasi-inovasi ini dijangka akan dipasarkan di dalam dan luar negara setelah memperoleh akriditasi yang ditetapkan dalam masa yang terdekat,” katanya.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok