HomeGen AlphaAktiviti(VIDEO) “Meremang tengok adik ni berlakon” - Murid SK Putra lakon semula...

(VIDEO) “Meremang tengok adik ni berlakon” – Murid SK Putra lakon semula babak filem Mat Kilau raih pujian warganet

Kejayaan Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang meraih lebih RM100 juta hasil kutipan berjaya mengembalikan semula keyakinan masyarakat di negara ini untuk menonton filem tempatan.

Filem yang diarahkan oleh pengarah dan pelakon terkenal, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 38 atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof itu juga telah berjaya membangkitkan semangat patriotisme serta memupuk nilai menghargai pengorbanan pahlawan terdahulu yang berjuang demi kemerdekaan negara dalam kalangan masyarakat.

Sememangnya nilai-nilai murni yang ditonjolkan dalam filem tersebut haruslah dicontohi oleh semua lapisan masyarakat tidak kira agama dan bangsa terutamanya golongan pelajar-pelajar sekolah.

Tidak hairanlah sekiranya banyak sekolah telah mengambil inisiatif untuk membawa murid-muridnya menonton filem itu di pawagam sepanjang tempoh tayangan.

Baru-baru ini, tular satu video yang memaparkan lakonan semula filem Mat Kilau oleh murid-murid Tahun Empat hingga Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, Kangar, Perlis.

Video tersebut yang dimuat naik di saluran YouTube Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Perlis merupakan penyertaan SK Putra bagi pertandingan filem sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.

Dalam video yang berdurasi hampir lima minit itu, penonton dapat menyaksikan lakonan semula murid-murid yang penuh beremosi dan disertakan dengan penulisan skrip yang baik sehingga meraih lebih 40,000 jumlah tontonan.

Antara babak yang berjaya mencuri tumpuan para penonton ialah ketika isteri kepada Wahid iaitu sahabat Mat Kilau yang terkorban dalam kemelut di Pahang.

@ceoalonee

Meremang tengok adik ii ni berlakon, besok mat kilau di netflix geng 😍

♬ original sound – Bobby – Bobby

Di laman TikTok pula, babak tersebut telah dikongsi semula oleh pengguna @ceoalonee sehingga meraih lebih hampir 900,000 jumlah tontonan dan 93,00 tanda suka.

Rata-rata pengguna laman itu yang menyaksikan video tersebut memberikan pujian serta kagum dengan sinematografi dan lakonan oleh murid-murid sekolah itu.

@cik_peoh313: Padu! Teruskan perjuangan Tanah Melayu. Teruskan bersemangat adik-adik.

@shafiqahmad_: Semoga berjaya di dunia dan akhirat adik-adik. Semoga menjadi pejuang Melayu yang berani satu hari nanti.

@mnadzaruddin: Tahniah anak-anak SK Putra. Moga semangat juang ini terus membara untuk jaga kemerdekaan agama, bangsa dan negara tercinta.

Artikel berkaitan

Mat Kilau, pahlawan muda yang cukup berani

Ramai ibu bapa daftar anak belajar silat gara-gara Mat Kilau

(VIDEO) Tercari-cari pemilik suara merdu, Cikgu Shamira tak sangka ia milik pelajarnya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok