cikgu shahrul-baru
cikgu shahrul-baru

10 tip skor subjek Tingkatan 6

Mariatul Qatiah Zakaria
30 Nov 2021 01:12pm
A
A
A

Bila tamat sahaja persekolahan Tingkatan Lima dan selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ramai pelajar tidak memikirkan untuk menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam.

Ini kerana stigma mereka Tingkatan Enam adalah satu pengajian yang low class, di samping mereka juga tidak lagi mahu memakai pakaian seragam sekolah.

Apa yang mereka inginkan ialah gaya hidup serta persekitaran kolej yang nampak gah dan lebih bergaya.

Menurut guru subjek Pengajian Perniagaan Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS), Ipoh, Shahrul Hisham Sabri, Tingkatan Enam adalah pilihan terakhir para pelajar lepasan SPM walaupun pengajiannya adalah percuma, diiktiraf dan juga merupakan persediaan sebelum melangkah ke peringkat ijazah.

Cikgu Shahrul Hisham Sabri

Katanya lagi, pelajar-pelajar juga sering mengatakan pengajian Tingkatan Enam agak sukar dan susah untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang kerana sudah tertanam di minda masing-masing, ‘Tingkatan Enam susah hendak skor’.

“Stigma begini juga harus dikikis dari minda pelajar kerana sistem pengajian Tingkatan Enam kini adalah berkonsepkan semester, tidak lagi seperti sebelum ini.

“Apabila ditukar ke dalam bentuk semester, maka tempoh pengajaran dan pembelajaran adalah lebih singkat, dan pengujian hanya dijalankan berdasarkan pembelajaran semester berkenaan.

“Sebab itulah, Kementerian Pendidikan telah melakukan penjenamaan semula dengan menubuhkan Kolej Tingkatan Enam yang hanya menempatkan pelajar-pelajar Tingkatan Enam bagi menjadikan suasana pembelajaran lebih mirip pengajian di kampus,” ujarnya.

Tambah Cikgu Shahrul Hisham, pelajar cemerlang adalah pelajar yang memberi tumpuan dan mempunyai matlamat dalam pembelajaran.

Baginya, pelajar yang kurang cemerlang hanya menjadikan Tingkatan Enam sebagai medan untuk menghabiskan alam persekolah.

Pada masa yang sama, beritahunya, jenis sekolah turut mempengaruhi keputusan peperiksaan, jadi dia menasihatkan para pelajar agar buatlah pilihan yang bijak, pilih gabungan subjek yang sesuai dengan kemampuan diri dan pastinya sekolah yang mempunyai prestasi yang bagus.

Yang penting, ini bukan masanya untuk ‘ikut kawan’ kerana dalam mengejar kecemerlangan, kemampuan dan matlamat diri diutamakan. Tepuk dada tanya selera.

Untuk itu, kali ini GPSBestari tampil dengan tip-tip bagaimana dengan mudah untuk anda skor subjek-subjek Tingkatan Enam yang dikongsi oleh Cikgu Shahrul Hisham.

  1. Pembelajaran dalam bentuk semester

Pengujian dan peperiksaan hanya bertumpukan pada semester semasa. Pelajar akan          belajar untuk semester itu kemudian ambil peperiksaan. Tidak seperti SPM yang                mengkehendaki anda mengulangkaji semua topik semasa di Tingkatan Empat dan Lima.

  1. Nisbah guru dan pelajar adalah lebih kecil

Jika diperhatikan, nisbah adalah lebih kecil antara pelajar dan guru, maka peluang ini          boleh digunakan sebaik mungkin oleh pelajar untuk menimba ilmu.

  1. Sesi pengajaran dan pembelajaran masih sama

Seperti sekolah harian biasa pengajian Tingkatan Enam tiada bezanya. Bermula awal          pagi dan habis sekitar pukul 2 petang.

  1. Bimbingan berterusan daripada guru

Disebabkan masih terikat dengan sesi persekolahan biasa, peluang untuk                           mendapatkan bimbingan bersemuka lebih luas berbanding di peringkat Institusi                 Pengajian Tinggi (IPT). Guru akan lakukan yang terbaik untuk memastikan pelajar itu         cemerlang.

  1. Sistem pointer

Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) merupakan salah satu sistem prauniversiti untuk        pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Cara pengiraan pointer ini              memberi kelebihan kepada pelajar untuk skor dan mendapatkan ‘mata’ yang tinggi bagi      setiap semester. Sekiranya pelajar gagal atau tidak berpuas hati dengan keputusan,            mereka boleh mengambil peperiksaan ulangan pada semester hadapan tanpa perlu            menunggu lama. Ini memberi peluang kepada mereka untuk perbaiki pointer mereka.

  1. Kerja Kursus

Melalui sistem pembelajaran Tingkatan Enam yang baharu, dengan adanya kerja kursus      ini akan banyak membantu pelajar. Seperti konsep penilaian berasaskan sekolah, kerja        kursus ini boleh dilakukan oleh pelajar dengan sebaik mungkin sebelum diberi gred            yang selayaknya oleh para guru. Markah kerja kursus dianggap markah tambahan              untuk pelajar bagi subjek itu. Jadi, pelajar boleh melakukan yang terbaik bagi                    mendapatkan keputusan cemerlang dengan bimbingan berterusan oleh guru.

  1. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar

Bagi sesetengah pelajar, pilihan ke Tingkatan Enam adalah disebabkan penggunaan            Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar. Ini juga merupakan satu kelebihan bagi            pelajar.

  1. Azam

    Sebagai seorang pelajar, anda boleh skor subjek STPM ini apabila mempunyai iltizam dan daya saing yang tinggi. Selain kelebihan nisbah guru, pelajar juga mesti mempunyai semangat ingin berjaya. Mentaliti semasa di peringkat SPM perlu dikikis, bersedia  setiap aspek dalam menjalani perjalanan sebagai pelajar prauniversiti ataupun Tingkatan Enam.

  2. Teknologi

    Kepesatan teknologi maklumat hari ini menjadi aset penting bagi meneruskan pengajian Tingkatan Enam. Dengan segala-galanya di hujung jari, pelbagai bahan pembelajaran boleh diperolehi. Pucuk pangkalnya adalah kerajinan anda menjadikan medium ini untuk menggali ilmu. Selain terdapat jutaan artikel yang berkaitan, media sosial seperti kumpulan telegram juga menjadi pemangkin dalam membantu pelajar mendapat bahan pembelajaran.

  3. Fokus

    Tumpuan penuh terhadap sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sewaktu pandemik, dan juga sesi bersemuka, merupakan antara rahsia kejayaan pelajar cemerlang STPM. Tiada istilah main-main dalam belajar dan pelajar jangan ambil mudah  bagi memastikan penguasaan dan kefahaman dalam setiap subjek yang dipelajari.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok