Winners Hadhinah Binti Ahmad Puaad, Tan Pei Jing and Senthil Kumaran Raja Kumar (1)
Winners Hadhinah Binti Ahmad Puaad, Tan Pei Jing and Senthil Kumaran Raja Kumar (1)

3 pelajar Malaysia menang IELTS Prize

Mohd Khairi Mohamad Yusri
05 Oct 2021 10:33am
A
A
A

Seramai tiga pelajar Malaysia diumumkan sebagai pemenang International English Language Test System (IELTS) Prize 2021 kategori tempatan sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh British Council baru-baru ini dalam satu majlis anugerah maya yang diadakan baru-baru ini.

Tiga pemenang hadiah tempatan di Malaysia ialah Tan Pei Jing, Hadhinah Ahmad Puaad dan Senthil Kumaran Raja Kumar.

Pemenang tempat pertama, Tan Pei Jing berkata, IELTS Prize memberikannya keyakinan untuk sentiasa mengambil peluang yang tersedia dalam kehidupan.

‘Hadiah ini memberikan saya keyakinan untuk lebih berani dalam mengambil peluang untuk meneroka, bereksperimen dan menjadi cemerlang dalam pelbagai bidang kehidupan.

“Tidak ada yang lebih memberi motivasi selain melihat kegembiraan di mata ibu bapa saya ketika mereka mendengar bahawa saya memenangi Hadiah IELTS,” katanya.

Sepanjang penganjuran IELTS Prize 2021, British Council menerima lebih daripada 600 permohonan dan menemu ramah lebih 80 pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam ujian IELTS, tetapi berjaya mengeksperesikan hasrat mereka untuk menyumbang kepada masyarakat di dalam atau luar negara setelah menamatkan pelajaran kelak.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Serantau, British Council Asia Timur, Trish Thomson, berkata, IELTS Prize mengiktiraf pelajar berprestasi tinggi yang menunjukkan kecemerlangan akademik dan komitmen untuk cemerlang semasa pengajian antarabangsa.

“Lebih penting lagi, mereka menunjukkan tekad untuk mengambil apa yang mereka pelajari semasa berada di luar negeri dan menggunakannya bagi memberi manfaat kepada masyarakat ketika pulang ke negara masing-masing.

“Kami sangat berbesar hati untuk membantu bakat-bakat muda ini menceburkan diri dalam dunia masa kini. Melanjutkan pelajaran ke luar negara merupakan salah satu cara untuk mempersiapkan diri untuk sentiasa berkembang,” ujarnya.

IELTS merupakan ujian kecekapan bahasa Inggeris yang telah menjadi syarat penting bagi kemasukan pelajar, terutamanya dari Asia Timur untuk memasuki universiti terkemuka dunia di United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok