puan mary
puan mary

4 tip pilih warna pakaian ke temu duga

Nor Azma  Muhamat LailaNor Azma  Muhamat Laila
24 May 2022 04:46pm

Menghadiri temu duga merupakan satu proses yang cukup penting kerana ia akan menentukan sama ada seseorang itu berjaya mendapat pekerjaan atau tidak.

Setiap kali menghadiri temu duga, pastinya aspek pemakaian adalah perkara yang sering dititikberatkan supaya ia mampu memberikan tanggapan positif dan profesional kepada bakal majikan.

Oleh itu, kali ini Sinar Bestari kongsikan tip daripada Perunding Imej, Maryanni Masarip atau lebih dikenali sebagai Puan Mary mengenai pemilihan warna pakaian untuk menghadiri temu duga.

Maryanni.

1. Pilih warna yang beri tanggapan profesional

Anda perlu sedar bahawa anda ialah seorang calon yang akan menemui bakal majikan untuk kali yang pertama. Jadi, 'impression' atau pandangan yang kita ingin tonjolkan kepada bakal majikan adalah pandangan yang profesional, cekap, mahir dan kita seorang yang serius mahukan kerja tersebut.

Jadi pemilihan warna pakaian kita perlu seiring dengan mesej-mesej tadi iaitu profesional, cekap dan mahir.

2. Pilih warna yang terdiri dalam kategori warna neutral

Terdapat dua istilah warna iaitu warna neutral dan warna fesyen. Dalam pemilihan pakaian untuk temu duga kerja, digalakkan untuk mengutamakan lebih banyak penggunaan warna neutral berbanding warna fesyen.

Jika ingin menggunakan pemakaian berasaskan warna fesyen, pilih warna yang tidak terlalu gelap atau terang. Boleh juga memilih warna fesyen yang mempunyai kepekatan sederhana, atau pilih warna yang bersifat lembut atau warna pastel.

3. Had bilangan warna yang boleh dipakai dalam satu penampilan

Jika menghadiri temu duga, pasti ramai juga calon yang tertanya-tanya mengenai berapa banyak warna yang boleh dipakai serentak pada satu-satu masa bukan? Jawapannya ialah tidak melebihi tiga warna.

Banyakkan warna neutral berbanding warna fesyen. Setidak-tidaknya, dalam penampilan anda, terdapat warna neutral 60 peratus dan warna fesyen kurang daripada itu. Jika warna fesyen terlebih pakai, anda tidak kelihatan seperti menghadiri temu duga sebaliknya seperti ingin menghadiri majlis.

4. Ambil kira latar belakang industri atau sektor sesebuah syarikat

Ada pelbagai jenis syarikat yang wujud dalam pelbagai industri di luar sana. Jika anda menghadiri temu duga, ambil tahu tentang industri atau sektor di mana syarikat itu berada.

Kenapa perkara ini penting? Ia kerana di luar sana ada sektor awam dan sektor swasta. Sektor awam dikenali sebagai sektor yang mana lebih tradisional dan serius sifatnya berbanding sektor swasta. Jadi, perkara ini juga akan diterjemahkan kepada pemilihan pakaian dan warna itu sendiri kerana lain industri, lain etika pemakaian yang diamalkan.

Bagi calon yang pertama kali bertemu dengan bakal majikan, disarankan supaya tetap tampil dengan penampilan yang sesuai dan rapi.

Contoh kombinasi warna yang boleh digayakan untuk temu duga.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp