5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!
5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!

5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
27 Jun 2022 07:35pm

Mata pelajaran Matematik merupakan subjek yang tidak menarik, sukar dan membosankan bagi sesetengah pelajar.

Ini kerana Matematik melibatkan penghafalan pelbagai formula malah jika pelajar mahu mahir, mereka wajib tahu teknik dan cara belajar subjek itu dengan betul.

Guru Matematik, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya (SMAPUTRA), Cikgu Juliana Mohd Yunus berkata, Matematik merupakan subjek mudah kerana ia mempunyai kaitan secara langsung dengan kehidupan kita seharian.

“Segala aktiviti dalam kehidupan melibatkan Matematik secara langsung seperti perniagaan, masa dan waktu, pengukuran, kajian bintang serta arkitek.

“Jadi, tidak timbul kesukaran mempelajari subjek ini jika pelajar memahaminya dengan jelas,” katanya.

Sehubungan itu, sebagai membantu pelajar skor A+ Matematik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan datang, Cikgu Juliana kongsikan lima tip senang sebagai panduan.

Mudah-mudahan ia membantu calon peperiksaan SPM menjawab semua soalan Matematik dengan baik.

Ikuti tip Cikgu Juliana ini.

1) Cuba praktikkan D1D3Q (dibaca sebagai DIDIK)

‘D1D3Q iaitu Do 1 Day (at least) 3 Question’ merupakan satu akronim yang sering cikgu gunakan untuk pelajar. Cikgu sentiasa galak dan wajibkan mereka jawab soalan setiap hari sekurang-kurangnya tiga soalan.

Ini bermaksud, paling sedikit atau jika tidak sempat kerana pelbagai kesibukan urusan lain sekalipun, mesti jawab tiga soalan. Ya, tiga soalan sahaja! Hari yang lapang, pilih tiga soalan Kertas 2. Hari yang paling sibuk, pilihlah tiga soalan objektif. Mudah kan?

Kita biasa dengar ‘practice makes perfect’ atau apa jua istilah lain, semuanya menggalakkan kita untuk terus mencuba dan menjawab seberapa banyak soalan Matematik setiap hari.

Percayalah, semakin banyak soalan yang dijawab, semakin mahirlah kita dengan soalan Matematik.

Sampai satu masa, kita akan perasan yang rupanya soalan Matematik ini berkisar soalan yang sama sahaja. Hanya ayat, situasi dan nombornya sahaja yang bertukar untuk diselesaikan hingga mendapat jawapan yang betul.

2) Jawab semua soalan SPM sebenar tahun sebelumnya

Pastinya anda mempunyai koleksi buku kerja yang mengumpulkan soalan-soalan SPM tahun lalu.

Atau ada dalam kalangan guru meminta anda menjawab soalan sebenar SPM tahun lalu. Betul?

Jadi, manfaatkan semua soalan tersebut. Pastikan pelajar cuba menjawab setiap soalan SPM sebenar sekurang-kurangnya untuk SPM lima tahun terkini.

Dengan menjawab soalan-soalan ini, anda akan semakin biasa dengan bentuk-bentuk soalan rutin, soalan bukan rutin serta soalan berbentuk kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang akan ditanya dalam soalan Matematik SPM sebenar nanti.

Secara tidak langsung, pelajar akan lebih bersedia untuk menjawab soalan Matematik dengan lebih yakin sewaktu menduduki peperiksaan bagi Kertas Matematik SPM kelak.

3) Kuasai teknik menjawab langkah demi langkah dengan betul

Untuk mata pelajaran Matematik khususnya, langkah kerja adalah teramat penting.

Penyelesaian dengan jalan kerja yang tidak lengkap atau tidak tepat, walaupun anda memberikan jawapan akhir yang betul, tetap akan membuatkan kehilangan markah.

Ini sangat merugikan kerana pelajar akan kehilangan markah pada soalan yang sepatutnya boleh dapat markah penuh!

Jadi, pastikan pelajar tidak tertinggal sebarang langkah pengiraan penting yang membolehkan anda berpeluang untuk mengumpul markah.

4) Mahirkan diri menggunakan kalkulator saintifik

Menjawab soalan Matematik, pastinya wajib bawa bersama kalkulator saintifik. Alangkah rugi jika kita ada kalkulator saintifik tetapi tidak mahir menggunakan kalkulator dengan bijak.

5) Tidak dapat semua, jangan tinggal semua

Untuk tip di saat akhir, pelajar perlu bijak untuk cemerlang dalam kertas peperiksaan Matematik.

Bagi pelajar yang masih lemah, anda boleh cuba strategi ini untuk skor Matematik. Pelajar tidak perlu untuk mahir dalam semua topik, cukup sekadar memilih beberapa topik yang mudah untuk dikuasai.

Bila dah kenal pasti topik, mohon fokus dan mahirkan diri dengan jalan kerja yang betul untuk dapat markah penuh. Insya-ALLAH, pasti boleh!

Artikel berkaitan 

Kemahiran dan kreativiti elemen penting, Ili Sulaiman sifatkan ia diperlukan dalam bidang kulinari 

Apa yang menarik dalam jurusan fesyen dan pakaian

Fakta menarik untuk pelajar ambil tahu; 4 mata wang nilai paling tinggi di dunia 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp