zaidatul
zaidatul

6 panduan pilih program pengajian di universiti

Nor Azma  Muhamat Laila
28 Mar 2022 02:08pm
A
A
A

Bagi pelajar Tingkatan Lima, membuat keputusan untuk memilih institusi pengajian tinggi (IPT) dan program pengajian yang bersesuaian dengan minat serta kelulusan peperiksaan masing-masing mungkin agak sukar.

Dalam hal ini, banyak faktor yang perlu dititikberatkan termasuklah kos pengajian, minat, lokasi universiti, prospek kerjaya dan sebagainya.

Memandangkan program pengajian yang bakal dipilih akan menentukan hala tuju kerjaya dan kehidupan pelajar di masa depan, seharusnya keputusan berkenaan dibuat berdasarkan panduan yang teliti.

Sehubungan itu, minggu ini Sinar Bestari mendapatkan pandangan daripada Penolong Pendaftar, Bahagian Pengambilan Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Zaidatul Akmal Zawani, 31, mengenai tip memilih program pengajian yang betul.

Zaidatul Akmal.

Menurut Zaidatul Akmal, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah banyak membuat hebahan mengenai permohonan kemasukan ke universiti menggunakan UPUOnline termasuklah dengan mengadakan Karnival Jom Masuk IPT.

“Banyak maklumat berkaitan program pengajian yang ditawarkan universiti awam (UA) boleh didapati menerusi karnival ini yang sudah diadakan di empat lokasi iaitu Pulau Pinang, Perak, Sarawak dan Nilai.

“Bagi pelajar yang tidak berkesempatan berkunjung ke karnival berkenaan, saya sarankan mereka dapatkan bimbingan daripada guru kaunseling di sekolah, ibu bapa atau ahli keluarga supaya dapat membuat keputusan yang tepat,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dikongsikan enam tip memilih program pengajian dengan betul di bawah ini dan semoga perkongsian kali ini membantu pelajar dalam membuat keputusan yang terbaik.

Gambar hiasan daripada Pexels.

1. Pastikan pelajar melepasi syarat am dan syarat khas program pengajian

Syarat am ialah calon perlu mendapat tiga kredit termasuklah Bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran Sejarah. Syarat khas program pula berbeza bergantung kepada ketetapan universiti.

2. Pilih program berdasarkan minat

Kebanyakan pelajar masih berdepan situasi di mana mereka memilih program pengajian kerana mengikut kehendak ibu bapa atau sekadar mengikut kawan-kawan. Pastikan calon memilih program pengajian berdasarkan minat diri sendiri, bukan orang lain kerana mereka yang perlu meneruskan tempoh pengajian selama tiga atau empat tahun di universiti.

Gambar hiasan daripada Pexels.

3. Meletakkan pilihan program mengikut keutamaan

Permohonan di dalam UPUOnline menyediakan 12 pilihan untuk pelajar. Pastikan calon meletakkan program pengajian yang paling diminati sebagai pilihan utama dan jangan mengisi kesemua pilihan atas dasar sekadar memenuhi ruang.

Sekiranya memilih program yang mempunyai temu duga, letakkan dalam pilihan satu hingga empat kerana selain daripada pilihan itu, calon tidak akan dipanggil untuk temu duga.

4. Rujuk kaunselor, ibu bapa atau ahli keluarga yang berpengalaman membuat permohonan ke universiti

Guru Bimbingan dan Kaunseling adalah individu yang tepat untuk dirujuk berkaitan hal pemilihan program pengajian di universiti dan hala tuju kerjaya bagi setiap jurusan yang dipilih. Selain itu, pelajar juga boleh mendapatkan pandangan daripada ibu bapa dan ahli keluarga serta berkongsi minat masing-masing supaya pilihan dibuat atas dasar minat diri sendiri, bukan orang lain.

Gambar hiasan daripada Pexels.

5. Sentiasa cari maklumat berkaitan pelbagai jurusan pengajian dan universiti

Kemudahan teknologi yang ada pada hari ini memudahkan pelajar untuk mencari pelbagai maklumat mengenai program pengajian yang ditawarkan UA malah sesetengah universiti turut menganjurkan pelbagai program atau karnival berkaitan kemasukan ke universiti bagi membantu pelajar mendapatkan info yang berkaitan.

Kewujudan media sosial juga boleh digunakan sebagai satu saluran untuk pelajar mendapatkan maklumat.

6. Elakkan melakukan kesilapan ketika membuat permohonan di UPUOnline

Calon dengan kedudukan merit yang rendah tidak digalakkan memilih program yang popular sebagai contoh Diploma Sains Komputer kerana mereka berkemungkinan memiliki peluang rendah untuk ditawarkan ke program pilihan atas faktor saingan sengit daripada calon-calon bermerit lebih tinggi. Calon juga tidak cakna dengan prosedur permohonan dan tip pemilihan program yang bersesuaian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok