WhatsApp Image 2021-06-29 at 2.43.59 PM
WhatsApp Image 2021-06-29 at 2.43.59 PM

Aktiviti bermanfaat untuk para graduan di musim PKP 3.0

A
A
A

Keadaan ekonomi negara yang kian merundum dari hari ke hari akibat daripada penularan virus Covid-19 ini telah memberi tamparan hebat buat para graduan bagi mendapatkan pekerjaan.

Bagai jatuh ditimpa tangga apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang telah dilaksanakan oleh kerajaan seolah-olah menutup semua peluang pekerjaan apabila kebanyakan sektor awam dan swasta ditutup.

Tidak dinafikan ramai lepasan graduan yang kecewa dengan keadaan semasa yang tidak menyebelahi mereka. Kesukaran mencari pekerjaan sesuai dengan kelayakan adalah sedikit mustahil apabila negara mengalami kejatuhan sejak setahun yang lalu.

Pandemik Covid-19 ini bukanlah satu bahan gurauan apabila ramai masyarakat kehilangan sumber pendapatan dan tempat bergantung hidup memandangkan banyak sektor pekerjaan terpaksa memotong kos perbelanjaan akibat kerugian semasa pandemik ini.

Keadaan ini pastinya menjadi cabaran terbesar kepada para graduan yang baru berjinak-jinak untuk melangkah ke alam pekerjaan.

Susulan itu, GPSBestari tertarik untuk berkongsi aktiviti bermanfaat untuk para graduan dalam mengisi masa lapang sementara menunggu panggilan pekerjaan.

Berikut adalah aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan:

1) Memulakan perniagaan dalam talian

Perniagaan dalam talian adalah satu perniagaan yang sangat terkenal pada masa ini. Keadaan semasa yang tidak membenarkan orang ramai untuk keluar rumah telah menjadikan perniagaan secara dalam talian sebagai platform jual beli yang melibatkan pelbagai barangan. Oleh itu, di samping menjadi pelanggan, para graduan juga boleh mengambil peluang ini untuk memulakan perniagaan sendiri.

2) Melakukan kerja sambilan

Pada ketika inilah, graduan berpeluang melakukan kerja-kerja sambilan sementara menunggu pekerjaan yang diinginkan. Sebagai contoh, para pelajar boleh menimba pengalaman di sektor-sektor yang masih dibuka seperti pasaraya, kedai runcit, dan sebagainya. Melalui kerja sambilan ini, graduan-graduan bukan sahaja boleh menambah pendapatan tetapi pengalaman kerja ini juga akan mencantikkan lagi ‘resume’ semasa membuat permohonan kerja kelak.

3) Melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawan

Melibatkan diri secara sukarela dalam program-program yang melibatkan pekerja baris hadapan adalah antara aktiviti bermanfaat kepada para pelajar. Sebagai contoh, ramai golongan muda yang melibatkan diri sebagai sukarelawan vaksin. Melalui pengalaman ini, para graduan boleh meningkatkan kemahiran sekali gus melahirkan individu yang cekap menjalankan tugas.

4) Menghantar sebanyak mungkin permohonan kerja

Sudah pasti ramai graduan yang berasa gusar apabila memikirkan masa depan mereka. Bagaimanapun, perasaan ini perlu dikawal serta disusuli usaha tanpa putus. Di musim PKP ini, para graduan berpeluang mencari dan menghantar sebanyak mungkin permohonan ke sektor-sektor pekerjaan. Ingat, usaha tanpa putus sudah pasti membuahkan hasil.

Berikut adalah perkara-perkara yang boleh dilakukan oleh para graduan sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Semoga perkongsian ini mampu membantu para graduan di luar sana, mengisi masa lapang dengan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat kepada diri dan orang lain.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok