WhatsApp Image 2021-08-16 at 17.34.06 (2)
WhatsApp Image 2021-08-16 at 17.34.06 (2)

Alumni UMK menang Anugerah Khas sempena UMKEA 2020

Nor Azma  Muhamat Laila
16 Aug 2021 10:29pm
A
A
A

KOTA BHARU - Pengasas TDC Holdings Sdn Bhd dan usahawan susu kolostrum C2Joy (Safe & Joy), Mohd Hafizuddin Hiew Abdullah dianugerahkan Alumni@UMK (Million Dollar Awards) sempena Majlis Anugerah Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMKEA) 2020, baru-baru ini.

Anugerah UMKEA anjuran Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMKEI) telah diadakan secara dalam talian menerusi platform Facebook Rasmi UMK.

Mohd Hafizuddin Hiew yang juga alumni UMK berkata, kejayaan menerima anugerah khas UMKEA 2020 adalah di luar jangkaan kerana tidak pernah terlintas di fikirannya universiti akan mengiktiraf segala usaha dan kejayaannya menerusi anugerah sebegini rupa.

Menurut beliau, anugerah ini amat istimewa kerana ini adalah satu-satunya anugerah bukan akademik yang diperolehi selepas tamat pengajian di UMK kerana sebelum ini hanya memperoleh Anugerah Dekan atau beberapa anugerah akademik lain-lain.

“UMKEA 2020 adalah pendekatan proaktif daripada UMK dalam usaha untuk mengiktiraf graduan, pensyarah dan alumni yang telah mengharumkan nama UMK melalui hasil kerja, perniagaan dan kejayaan mereka,” kata beliau.

Sementara itu, UMKEA 2020 turut mempertandingkan tujuh kategori lain iaitu Student Social Entrepreneurship Awards yang dimenangi oleh pemilik Phytophia Venture, Ahmad Zaid Azri Ahmad Zakaria dari Fakulti Industri dan Asas Tani (FIAT) dan kategori SME@UMK Awards diraih oleh Wan Noriah Wan Ramli yang merupakan usahawan dan pemilik Min House Camp.

Pengarah Urusan Khabilu Manufacturing Sdn Bhd, Hakimullah Khabilu pula memenangi kategori Alumni@UMK Awards dan pemenang Entrepreneurship Mentor Award dimenangi oleh pensyarah FIAT, Mohd Mahmud@Mansor.

Bagi kategori Institutional Awards dibolot oleh Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) manakala untuk penerima anugerah kategori Student Enterprise Awards dimenangi oleh Imer Jibril Mohd Nasir dan Wan Azehan Helmi Wan Abdul Halim dari syarikat Zehan Jibril Enterprise.

Pemilik Syarikat Wawa Bakery, Noor Salwa Mohd Razali pula memenangi anugerah untuk kategori Graduate Enterprise Awards.

Keputusan bagi keseluruhan pemenang UMKEA 2020 diumumkan oleh Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail.

Menurut Dr Noor Azizi, anugerah UMKEA diadakan untuk mengiktiraf dan menghargai kejayaan serta sumbangan usahawan pelajar, graduan, mentor, alumni dan rakan usahawan daripada program SME Graduate.

Beliau menyifatkan anugerah tersebut sebagai pendorong dan pembakar semangat terutamanya kepada usahawan pelajar UMK untuk bersaing secara sihat dengan menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam perniagaan masing-masing.

“UMK telah mencatatkan prestasi yang sangat memberangsangkan dalam melahirkan usahawan pelajar dimana sehingga Jun 2021 kita telah mencatatkan jumlah usahawan pelajar seramai 1,605 pelajar dan buat pertama kali pada tahun 2020, kita mencapai seramai 1,424 iaitu sebanyak 15.6 peratus usahawan melepasi sasaran oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Bagi usahawan graduan pula kita telah mencatat pencapaian yang sangat membanggakan iaitu sebanyak 14.8 peratus pada tahun 2020 iaitu angka yang melepasi sasaran yang telah ditetapkan oleh KPT sebanyak 10 peratus,“ katanya.

Tambah beliau, dalam memperkasakan keusahawanan di UMK, universiti telah melakukan penstrukturan semula pusat keusahawanan pada tahun 2019 dengan meletakkan Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) sebagai peneraju dan diperkuatkan dengan tiga pusat di bawah naungan UMKEI iaitu Centre for Entrepreneurship Education and Development (CEED), Institute of Small and Medium Enterprise (ISME) dan Global Entrepreneurship Research and Innovation Centre (GERIC).

“Saya cukup yakin dan percaya untuk kelestarian dalam bidang keusahawanan dengan melakukan pelbagai inovasi.

“Alhamdulillah UMK juga telah menubuhkan Ignite Venture Lab (IVL) iaitu sebuah makmal yang menjadi hub inovasi sekali gus akan menjadikan UMK sebagai peneraju untuk merangsang kreatitviti dan inovasi dalam keusahawanan.

"Lebih 10,000 akan pelajar UMK menerima manfaat dengan penubuhan IVL yang menyediakan aktiviti inovasi pembangunan kapasiti dan seterusnya dapat melahirkan usahawan pelajar yang berinovasi serta kreatif,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Pengarah Kanan UMKEI, Prof Madya Dr Mohammad Ismail berkata, antara pendekatan UMKEI mewujudkan ekosistem keusahawanan di kampus dengan menyediakan pelbagai aktiviti, program dan fasiliti antaranya kemudahan 48 kios perniagaan di ketiga-tiga kampus, online platform (unik19.com), coaching and mentoring dan Entrepreneur in Residence (UMK Nexus).

Katanya, selain itu bagi membantu kelancaran perancangan program dan aktiviti, UMK juga telah mewujudkan kelab Sekretariat Keusahawanan Pelajar (SKP) yang menjadi penghubung dan penggerak keusahawanan dalam kalangan usahawan pelajar.

”Saya percaya usaha untuk melahirkan usahawan pelajar yang berjaya, ia tidak mampu dilakukan dalam sekelip mata. Dalam melahirkan usahawan pelajar ini adalah sama seperti tanam pokok durian, perlu sedikit masa untuk mendapatkan hasil.

“Kebanyakan pelajar ini akan berjaya selepas menamatkan pengajian seperti Muhammad Hafizuddin Hiew dan ada juga yang berjaya semasa dalam pengajian seperti Imer Jibril dan Wan Azehan Hilmi yang mengusahakan produk perencah King Oden,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok