Ismail (dua dari kanan) dan Jamal (kanan) ketika pelancaran Program Tuisyen Dalam Talian Percuma Negeri Sembilan di Hotel Royale Chulan.
Ismail (dua dari kanan) dan Jamal (kanan) ketika pelancaran Program Tuisyen Dalam Talian Percuma Negeri Sembilan di Hotel Royale Chulan.

Program Tuisyen Dalam Talian Percuma Negeri Sembilan dilancarkan! 18,000 pelajar SPM bakal terima manfaat

28 Jun 2025 03:39pm

Usaha memperkukuh pencapaian akademik pelajar sekolah menengah di Negeri Sembilan mendapat dorongan baharu dengan pelancaran Program Tuisyen Dalam Talian Percuma Negeri Sembilan anjuran bersama Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta Dalam Pendidikan (PIBKS) Negeri Sembilan dan Kolej UNITI Port Dickson.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif itu yang dilihat mampu memberi impak besar kepada usaha melonjakkan prestasi pendidikan anak-anak Negeri Sembilan.

"Kerajaan Negeri Sembilan amat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh Kolej UNITI dan PIBKS dalam menjayakan program tuisyen percuma ini.

"Inisiatif sebegini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan tiada pelajar tercicir disebabkan faktor kewangan,” katanya ketika merasmikan majlis itu di Hotel Royale Chulan, Seremban di sini.

Hadir sama Presiden Kumpulan Pendidikan UNITI, Jamal Mohd Amin; Pengerusi PIBKS Negeri Sembilan, Kameel Abdul Karim dan Ketua Pegawai Operasi Kolej UNITI, Hamdan Ikram.

Kata Ismail lagi, usaha murni dan kerjasama strategik PIBKS dan Kolej UNITI Port Dickson wajar dicontohi kerana ia tidak berasaskan keuntungan sebaliknya bukti komitmen kedua-duanya pihak untuk mendokong usaha kerajaan dalam menggalakkan lepasan sekolah ke pendidikan tinggi.

Sementara itu, Jamal berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan PIBKS dalam menjayakan program berimpak tinggi ini.

"Kami percaya akses kepada pendidikan berkualiti tidak seharusnya bergantung kepada kemampuan kewangan. Justeru, program ini dibuka secara percuma kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Negeri Sembilan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail (tengah) bersama pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Negeri Sembilan yang hadir pada pelancaran Program Tuisyen Online Percuma Negeri Sembilan baru-baru ini.
Ismail (tengah) bersama pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Negeri Sembilan yang hadir pada pelancaran Program Tuisyen Online Percuma Negeri Sembilan baru-baru ini.

Tambah beliau, pendaftaran akan dibuat melalui sekolah-sekolah menengah di seluruh Negeri Sembilan, dengan penyertaan dibuka kepada 18,000 pelajar pada fasa pertama. Pihak sekolah bertanggungjawab mendaftarkan nama pelajar yang berminat melalui PIBKS.

Sambung Jamal, program itu akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian dan dikendalikan oleh barisan guru berpengalaman termasuk guru pakar mata pelajaran SPM daripada seluruh negara.

Modul pembelajaran pula akan diselaraskan dengan format dan keperluan semasa peperiksaan kebangsaan.

"Program Tuisyen Percuma Negeri Sembilan bermula Julai merupakan kesinambungan kepada kejayaan Program Bengkel Teknik Menjawab Soalan SPM 2024 yang telah dilaksanakan sebelum ini di beberapa daerah terpilih.

"Bengkel terdahulu telah ditaja sepenuhnya oleh Kolej UNITI dengan nilai tajaan sebanyak RM80,000 dan kita akan meneruskan program sama pada tahun ini dengan nilai tajaan sebanyak RM100,000," katanya.

Pada tahun lalu, sebanyak 14 buah sekolah di Negeri Sembilan telah terpilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran bengkel itu, dengan setiap sekolah menerima kehadiran kira-kira 200 pelajar daripada sekolah-sekolah sekitarnya.

Secara keseluruhan, program bengkel tersebut telah melibatkan 2,800 pelajar dan 58 buah sekolah dari pelbagai daerah di Negeri Sembilan sekali gus membuktikan keperluan berterusan kepada program intervensi pendidikan yang sistematik dan inklusif.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp