IMG_5969
IMG_5969

Anis Amira ratu dalam pembikinan, tidak gentar cabar diri dalam sukan berbasikal

Nor Azma  Muhamat Laila
22 Jun 2021 04:01pm
A
A
A

Sukan berbasikal semakin menjadi trend dalam kalangan masyarakat hari ini tambahan pula keterbatasan dalam menganjurkan aktiviti sukan dan sosial kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merancakkan lagi penyertaan dalam aktiviti tersebut.

Kecemerlangan yang ditunjukkan atlet berbasikal negara seperti Azizulhasni Awang dan bekas ratu berbasikal trek, Fatehah Mustapa sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan trend sukan berbasikal di negara ini.

Persaraan Fatehah pada April tahun lalu menjadikan arena sukan berbasikal negara kehilangan sebutir permata berharga tetapi pada masa yang sama kekosongan itu mula diisi seorang lagi atlet berbasikal trek negara iaitu Anis Amira Rosidi.

Anis Amira yang mula bergiat aktif sebagai atlet kebangsaan sejak lapan tahun lalu kini menggalas tanggungjawab berat apabila menjadi satu-satunya sandaran buat skuad berbasikal wanita negara dalam acara trek selepas ketiadaan Fatehah.

Anis Amira, satu-satunya atlet berbasikal trek wanita sandaran negara.

Berkongsi perjalanannya dalam sukan berbasikal, Anis Amira berkata, ia bukanlah mudah dan dia bermula dari bawah sehinggalah berjaya menempatkan diri dalam skuad kebangsaan.

"Menjadi atlet berbasikal trek memerlukan kemahiran yang sangat jitu terutama dari segi keberanian, teknik kawalan badan dan basikal, ketahanan mental dan fizikal serta mempunyai stamina yang tinggi.

"Bagi mendapatkan kemahiran itu, saya bermula dengan kayuhan di jalan raya 100 atau 150 kilometer (km) untuk mendapatkan ketahanan dan beralih ke sesi latihan di trek bagi membiasakan diri dengan teknik kayuhan yang diperlukan," katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Sepanjang bergiat aktif dalam sukan berbasikal, Anis Amira pernah meraih beberapa kejayaan termasuklah pingat gangsa dalam kejohanan Asian Cycling Championships Junior 2016, Asian Cycling Championships 2020, dan Kejohanan Piala Negara-Negara di Hong Kong, bulan lalu.

Rajin sertai pertandingan

Dalam pada itu, Anis Amira memberitahu, bagi mereka yang berminat mencuba nasib menjadi atlet negara, mereka yang sudah mempunyai kemahiran boleh menyertai kejohanan yang dianjurkan dalam dan luar negara supaya bakat yang dimiliki dapat dihebahkan sekali gus menarik perhatian pasukan kejurulatihan negara.

"Selain itu, mereka boleh menyertai akademi pencarian bakat muda seperti yang dianjurkan Fatehah atau mana-mana syarikat swasta yang berpotensi menjadi penaja pada masa depan.

"Semuanya kena bermula dengan minat dan kesungguhan, dari situ akan timbul komitmen sehingga ada yang sanggup melalui proses latihan yang berterusan dan menyertai pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara," jelasnya lagi.

Mengakui sukan berbasikal memerlukan latihan yang berterusan untuk cipta kejayaan.

Sehubungan itu juga, Anis Amira sempat menitipkan pesanan supaya peminat sukan berbasikal di negara ini sentiasa mengutamakan keselamatan ketika di jalan raya agar tidak mengganggu pengguna lain.

"Selain itu, sila pastikan anda sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Dalam keghairahan menjalankan aktiviti berbasikal, aspek kesihatan dan pemakanan juga perlu diambil kira kerana tiada guna berkayuh hingga berpuluh atau beratus kilometer tetapi selepas itu menjamu selera dengan pelbagai menu yang tidak sihat," sambungnya lagi.

Latihan berterusan

Menurut atlet yang berasal dari Perlis itu lagi, acara basikal trek memerlukan atlet membina otot supaya mempunyai kekuatan ketika membuat kayuhan dan pecutan selain mengambil kira arah angin, kedudukan badan, dan aspek pemakaian ketika berlumba.

"Daripada aspek teknikal pula, penggunaan gear juga berbeza antara atlet lelaki dan perempuan untuk tujuan pertandingan, sesi pemanasan badan atau latihan malah kemahiran yang diperlukan bagi atlet lelaki dan wanita juga berbeza.

Anis Amira perlu menaikkan berat badan sebanyak lima kilogram lagi untuk memenuhi syarat bagi acara yang disertainya.

"Keadaan trek basikal juga perlu diambil kira selain kemahiran membiasakan diri dengan kasut yang dilekatkan di pedal kerana jika tidak biasa, ia akan menyebabkan seseorang individu itu mudah terjatuh," katanya.

Mengulas mengenai sukan berbasikal yang menjadi trend hari ini, Anis Amira berpendapat sukan itu boleh disertai individu yang mempunyai kemahiran mengayuh tetapi untuk menyertai pertandingan, ia memerlukan sesi latihan yang berterusan.

"Seseorang individu yang berminat menyertai sukan ini perlu mendapatkan basikal yang bersesuaian dengan jenis acara yang dipilih sama ada mountain bike, road bike atau basikal trek seperti yang saya gunakan.

"Setiap acara ini sudah tentunya memerlukan kemahiran yang berbeza di mana setiap basikal juga mempunyai gear berbeza dan perlu dilaraskan bersesuaian dengan tujuan kegunaannya sekali gus menuntut seseorang individu itu mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan mengenai basikal masing-masing," ujarnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok