Kementerian telah menyalurkan peruntukan awal bagi kerja pembersihan dan pemulihan kawasan terjejas demi memastikan proses pembelajaran pelajar tidak terganggu.
Kementerian telah menyalurkan peruntukan awal bagi kerja pembersihan dan pemulihan kawasan terjejas demi memastikan proses pembelajaran pelajar tidak terganggu.

JKR, bomba diminta jalankan siasatan terperinci kebakaran pejabat SMAP Kajang - Fadhlina

11 Jul 2025 09:59am

Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat telah diminta untuk menjalankan siasatan terperinci kes kebakaran yang berlaku di unit pejabat Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Selangor, awal pagi Khamis. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini kerana isu yang membabitkan keselamatan sekolah adalah suatu perkara yang tidak boleh dipandang ringan.

"Kita sangat prihatin soal keselamatan. Kebakaran ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja melibatkan keselamatan, tetapi juga suasana kondusif yang diperlukan untuk anak-anak meneruskan pengajian," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka serta Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kementerian telah menyalurkan peruntukan awal bagi kerja pembersihan dan pemulihan kawasan terjejas demi memastikan proses pembelajaran pelajar tidak terganggu.

"Kita bersyukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Semua pentadbir sekolah diingatkan untuk memastikan persekitaran sekolah mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat," katanya.

Media melaporkan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kebakaran di unit pejabat sekolah itu berlaku pada 1.18 pagi membabitkan kemusnahan hampir 95 peratus. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp