
Pejabat Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang terbakar
Unit pejabat di tingkat dua bangunan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor musnah dalam satu kejadian kebakaran awal pagi Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden terbabit pada jam 1.18 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dibantu BBP Bangi dengan kekuatan keseluruhan seramai 16 anggota kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan bangunan sekolah tiga tingkat yang mempunyai anggaran keluasan 30x1000 kaki persegi.
"Kebakaran berlaku di tingkat dua membabitkan sebuah bilik pejabat seluas 30x30 kaki persegi yang terbakar hampir 95 peratus," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
"Kerja-kerja pemadaman dan kawalan api dilakukan menggunakan jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari kedua-dua balai.
"Operasi pemadaman kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.58 pagi," katanya.
Jelas beliau, punca kebakaran masih dalam siasatan.