photo-1590012314607-cda9d9b699ae
photo-1590012314607-cda9d9b699ae

Apa beza graduan dan siswazah? Ini penjelasan yang perlu pelajar ketahui

Adlan Farhan Azwan
17 Feb 2022 10:56am
A
A
A

Terdapat satu istilah yang sudah menjadi perkataan Melayu tetapi membawa maksud berbeza daripada makna asalnya. Perkataan itu ialah graduan. Umumnya apabila disebut graduan, orang memahaminya sebagai lulusan universiti tetapi makna asal graduan tidak bermaksud sedemikian.

Perkataan asal graduan daripada bahasa Inggeris ialah ‘graduand’. Asalnya pula daripada bahasa Latin, ‘graduandus’. Di Malaysia, perkataan ini dikelirukan dengan perkataan ‘graduate’.

Terjemahan kepada graduate yang tepat adalah siswazah. Kita tidak menggunakan istilah graduat untuk merujuk kepada ‘graduate’ sebaliknya menggunakan perkataan graduan sebagai terjemahan kepada ‘graduate’, yang pada asalnya adalah tidak tepat.

Baca juga

Tip langsai hutang PTPTN dalam masa singkat, graduan boleh cuba cara ini

Etika menghantar e-mel rasmi yang ramai terlepas pandang. Pelajar dan graduan, mohon beri perhatian!

Ini kerana ‘graduand’ dan ‘graduate’ membawa maksud berbeza. Graduand adalah seseorang lepasan universiti yang telah lulus peperiksaan mereka tetapi belum mengambil ijazah dalam upacara konvokesyen.

Apabila seseorang lepasan universiti mendapat ijazahnya melalui upacara di konvokesyen, maka mereka merupakan seorang ‘graduate’, atau dalam bahasa Melayunya, siswazah. Mereka tidak lagi boleh disebut sebagai graduan.

Tempoh seseorang menjadi graduan adalah pendek, iaitu beberapa bulan sahaja, setelah lulus peperiksaan akhir hingga semasa mengambil ijazah semasa konvokesyen. Selepas itu, mereka dikenali sebagai siswazah semata-mata dan bukan lagi graduan.

Namun, upacara pengambilan ijazah di majlis konvokesyen dalam tradisi universiti adalah penting. Seseorang yang tidak melalui upacara itu untuk mengambil ijazahnya atas sebab-sebab tertentu tidak boleh dipanggil siswazah, mereka hanya boleh dipanggil sebagai graduan.

Ini kerana dalam tradisi universiti, tidak semua graduan secara automatik menjadi siswazah. Graduan hanya lulus peperiksaan akhir mereka tetapi hanya pihak senat universiti yang mempunyai kuasa meluluskan seseorang patut diberikan ijazah atau tidak.

Pendek kata, hanya universiti menentukan seseorang menjadi siswazah. Lulus peperiksaan tidak secara automatik menjadikan graduan seseorang siswazah.

Justeru ungkapan ‘‘masalah graduan menganggur” berbeza dengan kata-kata ‘‘masalah siswazah menganggur”.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Sememangnya lebih banyak graduan menganggur berbanding siswazah. Ini kerana graduan baru saja lepas lulus peperiksaan dan belum memperoleh ijazah tetapi kebanyakan siswazah mendapat pekerjaan kerana mereka sudah memperoleh ijazah.

Dari segi lenggok bahasa Melayu, perkataan siswazah lebih enak didengar berbanding graduan atau graduat.

Siswazah merupakan gabungan dua perkataan siswa dan ijazah. Siswa berasal daripada bahasa Sanskrit dan ijazah adalah daripada Arab.

Maka siswazah bermaksud ‘‘siswa yang telah menerima ijazah’'. Sememangnya dari segi irama kata-kata, perkataan Sanskrit dan Arab begitu enak untuk diserap ke dalam bahasa Melayu, lebih mudah berbanding bahasa Inggeris, Belanda atau Portugis.

Sumber: Blog Kisah by Hanina

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok