p.amalul5
p.amalul5

Bakat Amalul Hazim cukup bersinar dalam ragbi

Norliza Wasilan
22 Aug 2022 02:37pm
A
A
A

Semuanya bermula kira-kira 13 tahun lalu apabila Amalul Hazim Nasarrudin mengikuti dan meneman abangnya berlatih ragbi.

Hari ini, siapa sangka pemuda berusia 27 tahun kini merupakan salah seorang daripada bintang skuad Bunga Raya 7’s, pasukan ragbi kebangsaan.

Apa yang membanggakan, anak kelahiran Kajang, Selangor ini, merupakan salah seorang pemain pasukan ragbi negara yang membawa cabaran Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham, baru-baru ini.

Pengalaman berharga

Mengakui ia satu pengalaman cukup berharga sepanjang kariernya, Amalul Hazim berkata, dia berbangga apabila dapat bermain dengan pasukan lain yang pernah beraksi di pentas dunia tujuh sebelah (7s).

Meskipun perasaan gugup tidak dapat dielakkan ketika menghadapi perlawanan dalam temasya sukan itu, namun dia dan pasukan telah melakukan yang terbaik untuk negara.

“Ketika itu, memang teruja dan tidak sabar untuk bermain dengan pasukan yang pernah beraksi di pentas dunia bagi perlawanan 7s.

“Walaupun pada mulanya agak gugup sebab tidak pernah beraksi dengan mereka, tetapi Alhamdulillah kami dapat bermain luar daripada jangkaan.

“Saya sendiri terkejut melihat pasukan dapat bermain dengan begitu baik walaupun tidak baik (tidak memuaskan) pada mata netizen,” katanya yang turut memaklumkan menyertai sukan Komanwel adalah sebahagian daripada impiannya.

Minat Jerry Tuwai

Ditanya idolanya dalam ragbi 7s, Amalul Hazim memberitahu, dia amat meminati bintang daripada pasukan Fiji iaitu Jerry Tuwai.

Ujarnya, walaupun fizikal pemain tersebut kecil tetapi dia berjaya mempamerkan persembahan cukup hebat.

“Cara dia bermain cukup bagus dan pastinya ramai peminat ragbi di negara ini mengenali beliau.

“Jerry Tuwai kecil saja orangnya dan daripada situlah saya fikir bahawa saiz bukan penghalang untuk bermain ragbi,” ujarnya lagi.

Bantu perbaiki diri

Mengulas bagaimana perlawanan di sukan Komanwel membantu meningkatkan semangat untuk perlawanan seterusnya, Amalul Hazim berkata, pengalaman yang ada amat membantunya untuk beraksi lebih baik selepas ini.

“Dengan pendedahan game (perlawanan) di luar (negara), kita boleh dapat pengalaman baru seperti cara mereka bermain (pasukan lawan) dan sebagainya.

“Dari situlah kita tahu cara untuk memperbaiki dan mengesan kelemahan pasukan kami,” tuturnya.

Pentingnya self-workout

Selain itu, Amalul Hazmin beritahu, sama seperti sukan lain, ragbi juga mementingkan kecergasan.

Oleh itu, ujarnya, dia begitu komited melakukan self-workout bagi mengekalkan stamina diri.

“Saya kekalkan tahap kecergasan dengan cara self-workout.

“Kondisi badan masing-masing, (hanya) kita saja yang tahu, adakah ia betul-betul bersedia atau tidak untuk bermain, pada masa sama, membantu untuk lebih yakin,” ujarnya.

Tip untuk pelajar

Selain itu, ketika diminta memberi tip kepada generasi muda terutama pelajar yang mahu menjinakkan diri dalam sukan lasak ini, Amalul Hazim berkata, mereka perlu memiliki stamina dan disiplin yang tinggi.

Ujarnya, banyak yang boleh dipelajari daripada sukan itu yang sering dikaitkan dengan lasak dan ganas.

“Banyak yang boleh dipelajari, contohnya disiplin diri dan sukan ini sangat menitikberatkannya di dalam dan juga luar padang.

“Cara permainan ragbi ini juga sangat mementingkan keselamatan walaupun caranya dilihat dan dianggap ganas oleh kebanyakan orang.

“Mula-mula, saya pun rasa sukan ini ganas, tetapi selepas bermain baru tahu persepsi itu salah,” ujarnya.

Amalul Hazim turut menasihatkan pelajar yang berminat untuk terbabit dalam sukan ragbi ini supaya yakin dengan diri sendiri dan jangan takut gagal.

“Mesti ada keyakinan dalam diri, jangan takut untuk gagal kerana dengan kegagalan itulah kita belajar dan mengutip pengalaman,” katanya.

Senarai pencapaian

•skuad Bunga Raya 7’s Asia Games 2018 Jakarta (tempat kelima)

•Top Try Scorer Asia 7s Series 2018 (Hong Kong)

•Champion Asia Trophy 2019 Jakarta

•Sukan SEA 2019 Manila (pingat perak)

•Asia 7S Series Dubai 2021 (tempat ketujuh)

Artikel berkaitan

3 atlet UniMAP wakil negara dalam kejohanan sukan universiti di Thailand

Sukan ragbi serlah bakat murid-murid SK Bandar Tun Hussein Onn (2)

3 atlet UniMAP wakil negara dalam kejohanan sukan universiti di Thailand


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok