Bakat besar 13 pelajar dalam animasi, bakal harumkan nama Malaysia di mata dunia
Bakat besar 13 pelajar dalam animasi, bakal harumkan nama Malaysia di mata dunia

Bakat besar 13 pelajar dalam animasi, bakal harumkan nama Malaysia di mata dunia

Roshlawaty Md Raieh
11 May 2021 05:53am
A
A
A

Pelajar sekarang mendapat pelbagai pendedahan dan juga kemahiran yang mereka asah secara sendirian atau secara online mentoring.

Ini memberikan sebuah perubahan yang pesat kepada perkembangan potensi remaja berkenaan.

Sebagai contoh, pada seketika dahulu, pelajar perlu sertai kelas-kelas secara fizikal untuk belajar cara melukis, tetapi pada zaman sekarang, mereka boleh belajar sendiri atas talian.

IKRAM Teens Johor telah membuat satu inisiatif untuk memanfaatkan kemahiran yang ada pada pelajar dan seterusnya dikongsikan semula kepada remaja lain.

Misalnya, Team Animasi IKRAM Teens Johor di wujudkan dengan mengumpulkan para pelajar yang berpotensi melalui beberapa siri pemilihan secara dalam talian iaitu di media sosial Instagram.

Bermula Februari lalu, seramai 13 pelajar (dua daripadanya belajar di institusi pengajian tinggi) dari seluruh negeri yang berumur 13-20 tahun dikumpulkan secara dalam talian dan diberi latihan khusus animasi bersama beberapa syarikat animasi seperti Creatvtoon (The Pillar of Strength), Blindspot Studios (Alif dan Sofia) dan Wau Animation (Ejen Ali).

Pelajar yang terlibat ialah Imilia Syazwani Ibrahim Sani (SMK Alam Megah, Selangor); Ikhwan Abdul Shatar (SMK Kompleks Gong Badak, Terengganu); Syaima’ Soleha Aizul Nawi (Sekolah Menengah Sri Al-Amin, Selangor); Ayesha Muhammad (Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Gombak); Nurul Fathihah Hazani (SMK Telok Mas, Melaka); Raihana Najwa Mohd Zamani (SMK Balai Besar, Terengganu) dan Siti Nur Auji Madhiah Mohd Karmani (SMK Nitar, Johor).

Juga, Muhammad Wafiy Abd Karim (SMK Bukit Jelutong); ‘Atifah Nadzirah Wahab (SMK Iskandar Shah, Melaka); Nur Nazlia Nazlan (SMK Alam Megah 2, Selangor); Noraila Najiha Mohd Nazim (SMK Ketari, Pahang); Farah Adiba (Kolej Pahang) dan Abdul Hakkim.

Pelajar-pelajar ini semuanya sudah ada identiti tersendiri di laman sosial dan dikenali dalam kalangan remaja termasuklah di luar negara. Malah ada yang mempunyai bilangan subscriber youtube berkenaan animasi yang mencecah ratusan ribu di usia muda.

Setelah dua bulan menjalani latihan secara dalam talian ini, IKRAM Teens Johor membuat satu inisiatif untuk menguji dan memberi peluang kepada remaja ini dalam mengasah bakat dan memberikan manfaat kepada rakan-rakan mereka melalui animasi.

Inisiatif tersebut adalah ‘Projek Animasi Ramadan’ di mana mereka di bahagikan kepada 5 kumpulan dan ditugaskan untuk membuat animasi berkenaan Ramadan.

Projek ini bermula 1 April hingga 3 Mei. Setiap proses pembuatan animasi tersebut dipantau oleh pengarah IKRAM Teens Johor, Abdul Aziz Khamaruzaman dalam memastikan mereka membuat animasi dengan kaedah yang di ajar.

Sementara itu, IKRAM Teens Johor menjangkakan akan mengadakan projek animasi yang ke-2 pada Disember nanti. Projek yang akan datang ini akan menjadi lebih bermakna kerana pelajar akan diberikan latihan yang mencukupi bagi menghasilkan animasi yang setaraf dengan animasi pada industri.

Abdul Aziz berkata, ramai pelajar sekarang mempunyai bakat yang terpendam.

"Namun mereka seolah-olah kurang berkeyakinan untuk tampil ke hadapan sekiranya sekolah adakan program mahupun pertandingan yang diadakan. Kerana itu, pelajar-pelajar ini lebih selesa serlahkan bakat di media sosial sahaja.

"Bagi membantu pelajar terlibat, IKRAM Teens Johor bersedia mengembangkan bakat mereka dan tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai generasi muda yang bakal mengharumkan nama negara akan datang," ujarnya.

INFO

IKRAMTeens ialah sebuah Kelab Remaja di bawah naungan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang ditubuhkan pada 12 Disember 2010.

IKRAMTeens mempunyai misi yang jelas iaitu untuk membentuk remaja yang menghayati Islam secara menyeluruh, memiliki ciri-ciri unggul dan berkepimpinan tinggi melalui bimbingan yang komprehensif, kontemporari, seimbang serta berterusan, mampu untuk menjadi remaja yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

Dengan bermotto kan ‘Menyerlah Jauh dari yang Biasa’, IKRAMTeens berhasrat untuk melahirkan Remaja yang Menyerlah jauh daripada Biasa, remaja yang sentiasa berkualiti dari aspek amal ibadah, remaja yang lebih mantap kepimpinannya, Remaja yang berakhlak setiap masa, berupaya memberi manfaat yang banyak buat ummah dan masyarakat, remaja yang berwawasan tinggi, Kreatif, inovatif dan berinisiatif.

Segala aktiviti yang dijalankan pasti akan mempunyai ciri dan merangkumi aspek mental, jasad dan rohani (MENTaRi).

Bagi yang ingin melihat Projek Animasi Ramadan dengan lebih dekat, layari laman sosial Instagram IKRAM Teens Johor.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok