Untitled (6)
Untitled (6)

Bergelar guru seawal usia 19 tahun, Cikgu Amirullah raih pelbagai anugerah peringkat kebangsaan dan antarabangsa

Nor Azma  Muhamat Laila
08 Nov 2021 11:31am
A
A
A

Memulakan tugas sebagai pendidik di Sekolah Menengah Vokasional Keningau, Sabah, pada 1 Januari 1994 seawal usia 19 tahun, hampir sebaya dengan pelajar pada masa itu memberikan cabaran kepada Cikgu Ts Amirullah Abdul Karim untuk menarik minat dan memastikan anak muridnya menguasai subjek yang diajar.

Meskipun begitu, guru yang mengajar mata pelajaran Teknologi Automotif ini bersyukur kerana berbekalkan panduan profesionalisme perguruan, pelajar-pelajar sentiasa menghormati dirinya dan memberi kerjasama dalam setiap proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijalankan.

Tambahan pula, minat yang mendalam terhadap bidang automotif sehingga sanggup meluangkan masa hujung minggu untuk mencari pengalaman di industri membuatkan pelajar-pelajar kagum dan hormat dengan kesungguhan beliau dalam menimba ilmu demi mendidik anak bangsa.

“Saya memilih untuk bergelar guru dalam bidang automotif kerana minat yang mendalam terhadap pendidikan vokasional dan yakin ia menjanjikan peluang cerah kepada pelajar sama ada membabitkan peluang melanjutkan pengajian atau membuka perniagaan sendiri."

“Tidak kiralah bidang apa yang diajar di sekolah, kepuasan sebenar ialah apabila melihat pelajar-pelajar berjaya mencapai kecemerlangan dalam akademik atau mana-mana pertandingan yang disertai,” ujarnya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Sepanjang 27 tahun berkecimpung dalam arena pendidikan, guru yang berasal dari Tawau, Sabah, ini berjaya mencipta pelbagai kejayaan termasuklah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2000, 2014 dan 2020.

Cikgu Ts Amirullah Abdul Karim.

Cipta kejayaan

Bapa kepada empat orang cahaya mata ini turut cemerlang dalam membimbing pelajar sekolah mendapat kemenangan dalam beberapa pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antaranya mendapat pingat gangsa di Bangkok International Intelectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPPITEX 2020) dan pingat perak di 1st International Conference On Creativity And Innovation (ICCI 2020) Thailand.

Guru yang memiliki kelulusan Sarjana Muda Pendidikan (Kejuruteraan Mekanikal) dengan Kepujian ini juga pernah mendapat pingat perak dan anugerah juri di Advance Innovation Global Competition yang diadakan di Nanyaang Technology University, Singapura.

Cikgu Amirullah menerapkan konsep hands on dalam proses PdP di Kolej Vokasional Keningau.

Cikgu Amirullah juga pernah menjadi Pegawai Pengesah Luaran (PPL), Kementerian Sumber Manusia untuk Sub Sektor 5.3: Jentera Pengangkutan Darat, panel pakar projek pembangunan dan penyelidikan (R&D) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta lantikan sebagai pakar rujuk bagi kajian Excellent Digital Curriculum: TVET Future Learning-Automotive.

Kaedah PdP

Dalam pada itu, berkongsi mengenai kaedah PdP yang sering diterapkan di KV Keningau pula, Cikgu Amirullah berkata, penyampaian berpusatkan guru, murid dan bahan pembelajaran sering diguna pakai dalam usaha merealisasikan hasrat melahirkan pelajar berkemahiran tinggi.

“Selain itu, komunikasi yang berkesan dalam ilmu berkaitan hard skill dan soft skill yang disampaikan turut memainkan peranan dan secara tidak langsung menarik minat pelajar untuk kekal fokus ketika di dalam kelas."

“Kerjasama dengan industri juga amat memberikan kesan langsung kepada minat dan kemenjadian pelajar automotif sepanjang menuntut ilmu,” ujarnya yang mendapat gelaran Teknologis (Ts.) Bidang Automotif daripada Malaysian Board Of Technologies (MBOT).

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang bergelar guru dalam bidang automotif, Cikgu Amirullah menjelaskan bahawa perkara paling mencabar adalah hendak memupuk disiplin dan minat pelajar serta keterlibatan ibu bapa dalam setiap perkara membabitkan pendidikan anak-anak mereka.

“Selain itu, saya juga perlu meyakinkan pihak industri bahawa pelajar-pelajar ini adalah kompeten sekali gus mampu menjadi tenaga mahir dan bersaing dalam dunia pekerjaan kelak.

“Bagi pelajar di luar sana yang berminat menyambung pengajian dalam bidang automotif ini, saya sarankan supaya rebutlah peluang pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) ini kerana ruang dan peluang amat besar di masa mendatang,” kongsinya mengakhiri perbualan.

Profil

Nama : Amirullah Abdul Karim

Tarikh Lahir : 13 April 1972

Tempat Lahir : Tawau, Sabah

Status : Berkahwin

Kedudukan dalam keluarga : Anak kedua daripada enam orang adik beradik

Subjek yang pernah diajar : Lukisan Kejuruteraan & Geometri, Amali Menservis dan Membaiki Kenderaan, Teori Automotif.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok