pexels-pavel-danilyuk-7944238
pexels-pavel-danilyuk-7944238

Bina sinergi alumni dan alma mater akan perkukuh universiti awam

Nor Azma  Muhamat Laila
03 Aug 2021 07:03pm
A
A
A

Penubuhan Majlis Alumni Universiti Awam ini merupakan manifestasi usaha memperkasakan institusi alumni di Malaysia.

Penubuhan Majlis Alumni Universiti Awam diluluskan penubuhannya pada 18 Julai 2020 adalah untuk membantu memperkasakan agenda pengurusan alumni di negara ini dan memperkukuhkan peranan alumni bersama alma mater.

Langkah memperkasakan institusi alumni di Malaysia yang melibatkan 20 buah Universiti Awam (UA) mempunyai sejarah yang panjang kerana usaha penubuhan Majlis Alumni Universiti Awam telah lama dibincangkan.

Kewujudan Majlis Alumni Universiti Awam yang merupakan majlis yang ke-9 ditubuhkan di bawah Sekretariat Mesyuarat Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Awam menjadi kemuncak kepada usaha memartabatkan institusi alumni agar seimbang dengan peranan yang dimainkan dalam pembangunan pelajar.

BACA JUGA:Pelajar baharu perlu mempunyai daya tahan tinggi

BACA JUGA: Cinta barangan antik bawa pesara guru ini mengembara

Bagi memastikan penubuhan majlis alumni dapat berfungsi secara optimum, Majlis Alumni Universiti Awam telah menubuhkan tiga teras di bawah pengurusannya iaitu Teras Pemerkasaan Alumni; Teras Jaringan Industri dan Masyarakat; dan Teras Kerjaya.

Sementara itu, bagi membantu dalam meningkatkan tadbir urus pengurusan alumni, buku Garis Panduan Pengurusan Alumni Universiti Awam telah diterbitkan sebagai rujukan semua pihak berkaitan pengurusan alumni.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Dalam melangkah usia setahun penubuhan Majlis Alumni Universiti Awam, beberapa program yang dapat membantu dalam meningkatkan penjenamaan alumni di Malaysia telah dirancang dan dilaksanakan seperti penganjuran Majlis Sambutan Hari Alumni Universiti Awam Kali Pertama, International Alumni Convention and Innovation Exhibition dan Konvensyen Alumni Universiti Awam.

Pada masa yang sama, Majlis Alumni Universiti Awam juga akan menerbitkan buku Perkongsian Amalan Terbaik Pengurusan Alumni dan juga Direktori Usahawan Alumni.

Usaha memperkukuhkan jaringan alumni agar setia bersama alma mater merupakan cabaran bagi memperkasakan institusi alumni di negara ini.

Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Asri Husain.

Ini kerana, platform kebersamaan alumni dengan universiti masih perlu dipertingkatkan lagi dengan kerjasama banyak pihak terutamanya persatuan alumni universiti dan juga melalui kerjasama dengan chapter alumni di dalam atau luar negara.

Strategi merapatkan ukhwah alumni dengan alma mater perlu dilaksanakan secara komprehensif dan sistematik agar alumni UA di Malaysia juga dapat menjadi seperti alumni universiti luar negara.

Membina perasaan bangga dan sayang kepada alma mater merupakan cabaran bagi memastikan Institusi alumni tempatan dapat berperanan secara optimum.

BACA JUGA: Hannah Mumtaz harumkan nama negara di peringkat dunia

Pada masa yang sama, kebajikan alumni juga perlu dilihat secara serius seperti dengan menyediakan tabung kebajikan alumni yang dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan alumni dalam jangka panjang.

Inisiatif menyediakan Kad Alumni yang menawarkan pelbagai insentif seperti diskaun dalam penggunaan fasiliti universiti, melanjutkan pengajian dan pelbagai lagi kemudahan akan dapat menarik perhatian alumni untuk terus mendampingi universiti.

Selain itu juga, kerjasama dengan Persatuan Alumni dan Chapter Alumni akan dapat menyediakan pelbagai bantuan dan perkhidmatan yang diberikan bagi menjaga kebajikan alumni.

Penggunaan teknologi komunikasi terutamanya media sosial pada masa kini dapat memastikan saluran maklumat untuk disebarkan kepada alumni dapat dibuat secara pantas di samping penggunaan media konvensional seperti laman web dan buletin alumni.

Masih banyak lagi potensi yang boleh diterokai bersama dengan alumni terutamanya dalam aspek perkongsian ilmu dan kemahiran yang amat diperlukan dalam membantu agenda pembangunan universiti terutamanya dalam kalangan pelajar-pelajar.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Dalam konteks ini, alumni dapat berkongsi pengalaman kerjaya mereka sebagai satu bentuk motivasi untuk menggalakkan pelajar agar berjaya pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, usahawan alumni juga boleh membantu bakal graduan ini dengan tawaran kerja di syarikat mereka.

Majlis Alumni Universiti Awam juga sedang dalam usaha mengadakan program Penempatan Graduan Bersama Usahawan Alumni (PRO-Grad) sebagai salah satu strategi membantu mengurangkan isu pengangguran dalam kalangan graduan universiti tempatan dan pada masa yang sama dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan (GE).

Selain itu, alumni juga merupakan sumber masa depan universiti. Ini kerana, mereka boleh membantu dalam menyediakan dana melalui sumbangan kewangan atau material sekiranya universiti dapat melihat strategi dinamik hubungan alumni secara komprehensif.

Alumni juga dapat terlibat secara aktif dalam pembangunan fasiliti universiti melalui penajaan dan juga sumbangan anugerah seperti anugerah di majlis konvokesyen. Pada masa yang sama, mereka juga boleh membuat bayaran zakat perniagaan dan lain-lain sumbangan kepada universiti sama ada secara berkala atau mengikut sesuatu projek yang dibuat oleh universiti.

Ikuti GPSBestari di Twitter

Kesimpulannya, dalam usaha memperkasakan institusi alumni, kewujudan Majlis Alumni Universiti Awam dengan kerjasama Bahagian Mahasiswa Holistik (BMH), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pengurusan universiti akan dapat membantu memastikan agenda pengurusan alumni di negara ini akan dapat diperkukuhkan lagi.

Pendekatan yang komprehensif perlu dilaksanakan kerana bilangan alumni dari universiti negara ini mempunyai angka yang besar dan jumlahnya semakin bertambah. Cabaran ini perlu dilihat secara strategik agar alumni universiti tempatan perlu digilap sebagai mutiara yang akan bersinar untuk menerangi pada masa akan datang.

Artikel oleh Mohd Asri Husain, Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok